KUCHING: Seramai 58 peserta menyertai Pertandingan Memancing Udang Kampung Rantau Panjang yang berlangsung selama lima jam, sekali gus menjadi ruang penduduk setempat berkumpul dan mengeratkan hubungan kejiranan.
Pertandingan yang bermula pada 8.00 pagi dan berakhir pada 1.00 petang itu turut mengetengahkan semangat kebersamaan serta penglibatan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa.
Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Kawa, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, nilai sebenar program berkenaan bukan terletak pada kemenangan atau jumlah tangkapan, sebaliknya peluang yang diwujudkan untuk penduduk berkumpul dan berinteraksi.
“Yang paling penting ialah kita dapat berjumpa, berbual, makan bersama dan mengeratkan hubungan sesama penduduk.
“Dalam kehidupan hari ini, masing-masing sibuk dengan kerja dan keluarga. Program seperti inilah yang memberi peluang kepada kita untuk kembali bersama sebagai sebuah komuniti, saling mengenali, membantu dan menjaga antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Memancing Udang Kampung Rantau Panjang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian selaku tetamu kehormat.

Dalam pada itu, Ahmad merakamkan penghargaan kepada Dr Sim kerana meluangkan masa bersama penduduk Kampung Rantau Panjang, selain menzahirkan penghargaan kepada Ketua Kaum (KK) Putit Omar, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rantau Panjang serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
Beliau berkata, penglibatan lebih ramai golongan muda dan keluarga dalam aktiviti kemasyarakatan perlu terus digalakkan supaya generasi baharu membesar dengan mengenali jiran, kampung serta nilai kehidupan bermasyarakat.
Menyentuh keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan sejak kebelakangan ini, Ahmad berkata keadaan dilihat semakin bertambah baik dalam beberapa hari terakhir.
“Alhamdulillah, beberapa hari ini nampaknya keadaan sudah mula bertambah baik. Kita berharap dan berdoa agar lebih banyak hujan turun supaya keadaan jerebu dapat terus berkurangan.
“Yang penting ialah kesihatan kita semua, terutama anak-anak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Kita perlu terus berjaga-jaga,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membiarkan perbezaan pandangan politik menjelang pilihan raya negeri akan datang menjejaskan hubungan kekeluargaan, persahabatan dan kejiranan.

Beliau berkata, lambakan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook dan pelbagai platform media sosial memerlukan masyarakat lebih berhati-hati sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Macam-macam cerita akan keluar. Jadi pandai-pandailah kita menilai. Semak dahulu sama ada betul atau tidak sebelum kita percaya ataupun sebarkan.
“Kalau ceritanya bohong atau sekadar khabar angin, jangan kita tambah dan jangan kita panjangkan. Kita juga perlu saling menasihati keluarga dan kawan-kawan supaya membuat penilaian berdasarkan fakta.
“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi silaturahim, persahabatan dan keharmonian masyarakat mesti terus kita jaga,” katanya.
Ahmad berharap Kampung Rantau Panjang akan terus berkembang sebagai sebuah komuniti yang aman, harmoni, saling membantu dan bersatu dalam semangat Segulai Sejalai.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kr Mahmud Ibrahim; Setiausaha Politik, Kho Teck Wan; Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rantau Panjang, ketua-ketua kaum serta pemimpin dan wakil masyarakat setempat.




