Dato Chee Kadir nyatakan sokongan penuh kepada Nor-E Fadzwie

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir menyatakan sokongan penuh kepada Nor-E Fadzwie Salleh di Bilik Gerakan Sementara GPS Kabong, hari ini. Foto: Nor-E Fadzwie Salleh

KABONG, 27 November: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menyatakan sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Nor-E Fadzwie Salleh, dalam usaha memastikan kesinambungan kepimpinan serta agenda pembangunan di kawasan berkenaan.

Sokongan itu dizahirkan menerusi satu perjumpaan bersama Nor-E yang berlangsung di Bilik Gerakan Sementara GPS Kabong, hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Chee Kadir menegaskan komitmen beliau untuk berdiri bersama calon GPS itu bagi meneruskan segala usaha pembangunan dan inisiatif yang telah dirintis sebelum ini demi kepentingan rakyat.

Beliau turut memaklumkan kesediaannya untuk bersama-sama Nor-E pada sesi Penamaan Calon bagi kawasan DUN Kabong yang dijadualkan berlangsung pagi esok.

“Saya menyatakan sokongan penuh kepada Nor-E Fadzwie Salleh sebagai calon GPS bagi DUN Kabong. 

“Saya berharap segala perancangan dan usaha pembangunan yang telah dimulakan sebelum ini dapat diteruskan demi kepentingan serta kesejahteraan masyarakat Kabong,” katanya.

Menurut beliau, kesinambungan kepimpinan amat penting bagi memastikan agenda pembangunan, kebajikan dan keperluan rakyat di seluruh kawasan DUN Kabong terus diberi perhatian.

Perjumpaan itu turut memperlihatkan hubungan serta kerjasama antara kepimpinan terdahulu dengan calon yang bakal membawa amanah rakyat, khususnya dalam memastikan pembangunan kawasan Kabong terus bergerak ke hadapan.

Chee Kadir berharap agar segala perancangan yang telah disusun dapat dilaksanakan dengan baik demi masa depan lebih baik dan kesejahteraan seluruh masyarakat DUN Kabong.

Oleh Adi Safarman