PETRA JAYA, 27 November: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung prosedur pilihan raya sekiranya sesebuah gabungan politik memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan pada hari penamaan calon, esok.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, perkara berkenaan masih dalam semakan memandangkan terdapat peraturan pilihan raya yang perlu dipatuhi.
Menurutnya, berdasarkan peraturan sedia ada, semua proses pilihan raya perlu diteruskan sebelum sebarang pengumuman dibuat.
“Walau bagaimanapun, sebarang pemakluman akan dibuat kemudian selepas kita mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Penamaan Calon N.07 Samariang, Dewan Serbaguna Taman Sukma, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ramlan mengesahkan bahawa kemenangan tanpa bertanding akan diumumkan sekiranya hanya seorang calon bertanding di sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ditanya mengenai jumlah calon bebas yang berhasrat untuk bertanding, beliau berkata, pihaknya belum mempunyai pecahan terperinci pembelian borang penamaan calon mengikut parti politik dan individu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya belum mempunyai maklumat mengenai jumlah kawasan DUN yang mencatatkan penjualan hanya satu borang penamaan calon.
Oleh Norman B




