GPS Bukit Kota sedia hadapi cabaran pembangkang pada PRN Sarawak ke-13

Facebook
WhatsApp
SEDIA GEMPUR... Dr Abdul Rahman tiba di Limbang dengan penuh keyakinan dan sokongan padu jentera GPS

LIMBANG, 27 November: Kira-kira 300 penyokong daripada parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) hadir di Lapangan Terbang Limbang bagi menyambut ketibaan Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, calon GPS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.79 Bukit Kota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Dr. Abdul Rahman, yang akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Kota, melahirkan rasa syukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk mewakili GPS di kawasan berkenaan.

Beliau turut mengimbas pengalamannya bertanding sebanyak tiga kali atas tiket Barisan Nasional (BN) dan memenangi satu daripadanya. Kali ini merupakan kali kedua beliau bertanding atas tiket GPS.

Menurutnya, pasukan kempen beliau sudah bersedia untuk menghadapi tempoh berkempen selama 14 hari.

Beliau turut mengajak semua petugas kempen supaya saling membantu dan bekerjasama sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berharap usaha bersama itu dapat membantu GPS mencapai kemenangan besar di Bukit Kota.

Oleh Adeng Edrus