PRN13: Kesemua 82 pusat penamaan calon bersedia

Facebook
WhatsApp
SIMULASI…Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun menyaksikan simulasi proses penamaan calon, hari ini. Foto Norman B

PETRA JAYA, 27 November: Kesemua 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, simulasi proses penamaan calon mengikut masa sebenar yang dilaksanakan pagi tadi turut berjalan lancar.

Menurutnya, proses penamaan calon akan berlangsung selama sejam bermula pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.

PENGERUSI SPR, Datuk Seri Ramlan Harun ketika mengikuti simulasi proses penamaan calon, hari ini. Foto Norman B

Ramlan turut memaklumkan bahawa setakat malam semalam, sebanyak 721 borang penamaan calon telah dijual kepada parti politik dan individu yang menyatakan minat untuk bertanding, manakala 40 calon telah membuat pembayaran deposit.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua bakal calon supaya membuat semakan awal borang pencalonan dengan pegawai pengurus masing-masing atau di pejabat SPR di Kuching.

“Saya menyeru semua calon dan pihak berkaitan supaya hadir seawal mungkin bagi memberi peluang kepada proses semakan berjalan lancar kerana tempoh penamaan calon hanya satu jam,” katanya.

DITEMUI MEDIA…Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan dan menyaksikan simulasi penamaan calon di Pusat Penamaan Calon N.07 Samariang, Dewan Serbaguna Taman Sukma, hari ini. Foto Norman B

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan dan menyaksikan simulasi proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon N.07 Samariang, Dewan Serbaguna Taman Sukma, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ramlan turut meminta semua parti politik, calon dan pihak berkaitan memberikan kerjasama dengan mematuhi segala peraturan serta arahan SPR dan pihak berkuasa.

Katanya, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung secara aman, tertib dan teratur tanpa sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa penghantaran peti undi ke kawasan pedalaman termasuk Baram akan bermula Rabu depan.

Mengulas mengenai unjuran peratusan keluar mengundi, Ramlan berkata, SPR akan membuat unjuran selepas proses penamaan calon selesai kerana jumlah pencalonan boleh mempengaruhi kadar penyertaan pengundi.

Oleh Norman B