LAWAS, 27 November: Kerajaan Sarawak menangguhkan pengagihan rumah di dua Skim Pembesaran Kampung (SPK), masing-masing di Kampung Belipat dan Kampung Serdang, bagi membolehkan pembangunan semula dilaksanakan mengikut spesifikasi semasa yang ditetapkan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan penerima menikmati kemudahan perumahan yang lebih baik dan memenuhi piawaian pembangunan semasa.
“SPK di kedua-dua kampung ini sudah dilaksanakan tetapi kenapa belum diagihkan? Kerana pelaksanaannya mengikut spesifikasi lama.
“Saya memberitahu Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Abdul Latip supaya jangan diagihkan dahulu,” katanya pada Majlis Simbolik Pecah Tanah Skim Penempatan Semula (SPS) Banting di sini, hari ini.
Awang Tengah menjelaskan, pengagihan rumah mampu milik kepada penerima terpaksa ditangguhkan berikutan keputusan kerajaan negeri untuk membangunkan semula kedua-dua SPK berkenaan.
“Kita tidak mahu ke belakang, kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, Pengurus Besar LCDA, Datu Zaidi Mahdi berkata, sejumlah RM57 juta diperuntukkan bagi pembangunan SPS Banting yang bakal menyediakan 45 unit rumah mampu milik jenis Sapphire 1 di kawasan seluas kira-kira 15 hektar.
Katanya, projek berkenaan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.
Skop kerja projek itu merangkumi penyediaan tapak, pembinaan infrastruktur serta pembinaan rumah.
Rumah mampu milik dua tingkat berkeluasan kira-kira 80.83 meter persegi itu akan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur dan ruang makan serta tangki takungan air berkapasiti 1,200 liter.
Selain kemudahan pembiayaan kredit daripada syarikat berkenaan, kerajaan Sarawak turut menyediakan kemudahan pinjaman mudah serta bantuan wang pendahuluan kepada mereka yang layak.




