
MAKKAH: Pusat Panggilan Kecemasan Lebuhraya (PPKL) Tabung Haji (TH) memainkan peranan penting bukan sahaja bagi memastikan pergerakan bas membawa jemaah haji Malaysia ke Makkah dan Madinah lancar dan teratur, tetapi juga menjamin keselamatan sepanjang perjalanan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata PPKL juga berfungsi sebagai pusat pemantauan dan penyelarasan utama sekiranya berlaku sebarang kecemasan sepanjang laluan darat sejauh lebih 400 kilometer antara dua kota suci itu.
“Melalui sistem pemantauan secara masa nyata, pasukan PPKL dapat mengesan kedudukan bas jemaah dan mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan atau masalah teknikal di lebuh raya,” katanya ketika ditemui media di perhentian As Sahel, Wadi Starah, di sini.
Mohd Hisham berkata petugas di Wadi Sitara yang terdiri daripada dua petugas kebajikan dan tiga pembantu, sentiasa siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Pusat ini menjadi lokasi strategik kerana jaraknya yang hampir dengan laluan utama dan peranan pentingnya sebagai tempat rehat jemaah selepas berniat ihram di Bir Ali,” katanya.
— LAGI
HAJI-PPKL 2 (AKHIR) MAKKAH
Mohd Hisham berkata sekiranya berlaku insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan, pasukan petugas PPKL akan digerakkan serta-merta untuk memberikan bantuan awal.
“Maklumat kejadian juga akan disalurkan dengan pantas kepada ibu pejabat TH di Makkah, Madinah atau Jeddah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pengurus PPKL Mohd Azir Shahril Ahmad mengakui tugas yang dipikul adalah amanah besar demi kebajikan dan kesejahteraan jemaah haji Malaysia ketika di Tanah Suci meskipun perlu berdepan cuaca panas.
“Saya anggap semua jemaah haji ini seperti ibu bapa saya sendiri dan cara saya menjaga jemaah, begitulah juga saya akan menjaga ibu dan ayah saya. Tambahan pula, mereka adalah Tetamu Allah, Duyufurrahman. Maka menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga mereka sebaik mungkin,” katanya.
Pembantu Pengurusan Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Kedah, Siti Norazila Kamarudin berkata dia sangat berpuas hati dengan perkhidmatan TH dalam memastikan kelancaran perjalanan jemaah haji.
“Alhamdulillah, petugas TH sangat membantu apabila setiap kali kami sampai di satu-satu lokasi, petugas akan datang memberikan maklumat tentang apa yang perlu dilakukan dan ia sangat membantu serta membuatkan kami rasa selamat sepanjang perjalanan,” katanya.– Bernama