MIRI: Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang bermula hari ini di pekarangan pusat beli-belah Boulevard di sini yang menarik kunjungan ramai orang.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati orang ramai mula mengunjungi program tersebut yang akan berakhir Ahad ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan program itu pada 2.30 petang esok yang akan turut disertai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
PMR 2024 Sarawakku Sayang dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selaku kementerian peneraju dan kerajaan Sarawak selaku tuan rumah.
Program itu bertujuan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.
Program itu membawakan lebih daripada 200 perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat berfokuskan kepada aktiviti kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya, tenaga dan air, pertanian dan keterjaminan makanan dan inisiatif hijau.
Selain itu turut dibawakan pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Kecerdasan Buatan (Al), serta pelbagai perkhidmatan yang disediakan agensi Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, termasuk pameran aset kerajaan.