SARIBAS: Pesta Buntal Regata Saribas 2026 diangkat sebagai acara tahunan rasmi kerajaan Sarawak berikutan kejayaannya merancakkan ekonomi setempat, khususnya dengan meningkatkan pendapatan nelayan, peniaga kecil dan usahawan tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penganjuran festival itu bukan sahaja berjaya mempromosikan ikan buntal sebagai produk makanan unik Sarawak, malah meningkatkan nilai komersial hasil laut berkenaan sehingga memberi pulangan lebih baik kepada komuniti nelayan.
Beliau berkata ketika festival itu mula diperkenalkan beberapa tahun lalu, harga ikan buntal hanya sekitar RM3 seekor, namun hasil promosi dan sambutan yang diterima menyaksikan harga ikan buntal segar kini meningkat kepada antara RM13 hingga RM18 seekor.

“Apabila harga ikan buntal meningkat, ia bermakna pendapatan nelayan turut bertambah. Itulah antara matlamat utama penganjuran Pesta Buntal, iaitu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buntal Regata Saribas 2026 di Dewan Sri Saribas, Kampung Manggut, di sini, semalam.
Uggah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, berkata festival itu turut memberi manfaat kepada lebih 100 penjaja yang menjual pelbagai makanan, kuih-muih, hasil pertanian dan produk tempatan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk.
Beliau berharap lebih ramai penduduk tempatan mengambil peluang menyertai festival berkenaan pada masa hadapan bagi memperluaskan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
Dalam perkembangan sama, Uggah berkata kejayaan pembangunan Sarawak hari ini adalah hasil kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif kerajaan negeri seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Kad Kenyalang Emas, skim simpanan untuk bayi baharu lahir serta pelaksanaan projek infrastruktur, kemudahan kesihatan dan tebatan banjir telah memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Kejayaan Sarawak turut didorong oleh perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang membolehkan agenda pembangunan dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus meningkatkan hasil negeri daripada RM5.6 bilion pada 2017 kepada lebih RM14 bilion dalam tempoh beberapa tahun,” katanya.
Uggah turut menyeru rakyat agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan menyokong usaha pembangunan kerajaan bagi memastikan kemajuan yang dikecapi dapat diteruskan demi kesejahteraan generasi akan datang.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Dr Mohammad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong Dato Richard Rapu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abu Nawas dan Pegawai Daerah Betong Laga Kueh.
Oleh Adi Safarman



