KUCHING: Peruntukan RM5.9 bilion untuk pembangunan yang diagihkan kepada Sarawak diyakini dapat meningkatkan jumlah projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata Belanjawan 2025 yang bertemakan ’Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahterakan Rakyat’ itu akan membolehkan lebih banyak projek infrastruktur asas dilaksanakan di kawasan luar bandar Sarawak.
“Projek infrastruktur ini meliputi projek pembinaan jalan raya utama, jalan-jalan kampung, projek bekalan air terawat termasuk bekalan elektrik ke kawasan pedalaman bagi menaikkan taraf kualiti hidup rakyat.
”Selain itu, peruntukan sebanyak RM100 juta bagi memperbanyak Perkhidmatan Komuniti Bergerak bagi memenuhi keperluan masyarakat desa dan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan panjang dan jauh untuk keluar mendapatkan Perkhidmatan seperti di Pulau Bruit, Daro.
”Perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga akan ditambah baik semestinya akan memberi kemudahan untuk rakyat di luar bandar terutamanya kawasan Parlimen Igan yang masih menggunakan sungai sebagai mod pengangkutan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan bagi mengulas Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, petang tadi.
Sementara itu, beliau berkata menerusi penambahan empat perkhidmatan Bank Simpanan Nasional (BSN) bergerak yang menjadikan 12 buah terutamanya di Sarawak akan memudahkan penyaluran bantuan kerajaan.
”Selain itu, kita juga menyambut baik pengumuman RM500 juta oleh Perdana Menteri untuk menaik taraf prasarana asas bekalan air bersih dan bekalan elektrik di 5,150 rumah di Sabah dan Sarawak,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf prasarana daif di 543 sekolah di Sabah dan Sarawak diharapkan dapat membaik pulih atau membina baharu sekolah-sekolah daif di negeri ini.
Untuk rekod, Belanjawan 2025 adalah tertinggi pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Oleh RYNNA SHA’ERRA