SIMANGGANG: Persatuan atau individu berkemampuan dalam kawasan ini boleh melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap agensi-agensi kerajaan dalam bandar ini kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau, mereka boleh melaksana tanggungjawab sosial dengan membantu menjayakan atau menganjur sesuatu program yang boleh memberi manfaat kepada agensi kerajaan tersebut.
“Mereka boleh mencontohi tindakan Pergerakan Pemuda Pertubuhan Meninggikan Akhlak atau Chee Chua Khor Simanggang telah bertindak menganjur kempen derma darah bertempat di bangunan organisasi mereka hari ini (semalam).
“Tindakan mereka ini dilihat amat baik kerana ia secara tidak langsung dapat membantu pihak hospital menambah bekalan darah untuk kegunaan pesakit yang amat memerlukan dari semasa ke semasa,” kata beliau.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen Derma Darah yang berlangsung di Bangunan Pertubuhan Chee Chuan Khor Simanggang di sini, pagi semalam.
Selain itu, beliau turut menasihati Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KKKM) di sini untuk membantu penduduk yang memerlukan bantuan kebajikan dalam kawasan masing-masing.
Katanya, KKKM boleh bertindak demikian dengan membawa masalah tersebut terhadap wakil rakyat atau agensi kerajaan berkaitan untuk tujuan tindakan lanjut.
“KKKM tanpa mengira di kawasan bandar atau luar bandar tidak harus ‘berpeluk tubuh’ jika mendapat tahu tentang masalah kebajikan yang berlaku terhadap penduduk di bawah pimpinan mereka.
“Golongan seperti ini seharusnya dibantu. Caranya ialah membantu mendaftarkan mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdekat untuk bantuan kebajikan atau wakil rakyat dalam kawasan masing-masing untuk bantuan tertentu,” kata beliau.
Turut hadir, Presiden Chee Chuan Khor Simanggang, Temenggung Kueh Aik Seng, Ketua Pergerakan Pemudanya, Tay Yew Hock, Ketua Seksyen Wanitanya, Lim Siang Ngo, para kakitangan kerajaan dan penderma darah di sini.
Harden pada majlis itu menyerahkan cek peruntukan kerajaan bernilai RM5,000 kepada Chee Chuan Khor Simanggang, cek bernilai RM5,000 kepada pergerakan pemudanya dan cek brnilai RM5,000 lagi kepada seksyen wanita pertubuhan itu.
Oleh Valentine Ngumbang