

SARIKEI: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia PVATM digesa untuk terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan serta sektor swasta bagi memperluaskan jaringan bantuan kepada golongan veteran.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii menggalakkan para veteran agar terus aktif dalam masyarakat dengan memanfaatkan pengalaman mereka dalam kepimpinan, disiplin dan strategi pertahanan.
Menurutnya, ramai veteran mempunyai potensi besar untuk menyumbang dalam sektor awam, swasta atau menceburi bidang keusahawanan.
Beliau berkata demikian melalui wakilnya, Pemanca Chan Phan Chan, ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Sarikei pada Ahad.
Pada masa sama, Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Repok turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap kebajikan veteran tentera di negeri ini.
Beliau berharap mesyuarat agung ini menjadi platform terbaik untuk PVATM merancang hala tuju persatuan demi kepentingan semua ahli serta memperkukuh peranan mereka dalam masyarakat. – UKAS