CHERYL LAW
KUCHING: Dalam menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang terus cekal berjuang mengharungi cabaran dan situasi getir pada waktu ini, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato’ Sri Nancy Shukri mengambil insiatif menghantar bantuan berupa makanan dan keperluan lain ke Institut Kemajuan Desa (INFRA) Kota Samarahan.
Kakitangan Pusat Khidmat P. 200 Batang Sadong dengan kerjasama pemimpin akar umbi mengagihkan sumbangan itu turut menghantar bantuan ke Balai Polis Asajaya, Pejabat JPAM, Asajaya, Pejabat Rela Daerah Asajaya, Klinik Kesihatan Sadong Jaya, Hospital Simunjan, Balai Polis Simunjan, Pejabat Rela Daerah Simunjan, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Daerah Simunjan, Klinik Kesihatan Gedong, Simunjan dan bantuan kepada petugas penguatkuasa yang bertugas di sekatan jalan raya, Serian-Kuching.
Nancy berharap sumbangan berupa barangan keperluan dan makanan itu dapat membantu para petugas melancarkan urusan kerja dan operasi ketika mengekang penularan pandemik Covid-19.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Dato Sri Mohammad Ali Mahmud mengambil inisiatif meyumbang bantuan bekalan makanan kepada penduduk Kampung Binyu juga di Kota Samarahan.
Sumbangan itu bagi membantu meringankan beban rakyat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak Covid-19.
Mohammad Ali menerusi Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Stakan dijangka meneruskan penghantaran bekalan makanan ke kampung-kampung lain selepas ini ekoran kekangan dihadapi penduduk kerana pergerakan yang terhad berikutan arahan PKP.
Ketua Kaum Kampung Binyu, Zambri Mohi yang mewakili Mohammad Ali menyerahkan sumbangan berkenaan kepada penduduk terjejas.
Mohammad Ali turut mengingatkan penduduk di DUN Stakan supaya mematuhi arahan PKP bagi mengelak jangkitan dan dapat memutuskan rantaian Covid-19 dengan berada di rumah dan hanya keluar bila ada keperluan sahaja.
Manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Jalan Giat Mara Sebuyau menghulurkan bantuan serupa kepada 40 keluarga yang terjejas.
Pengagihan barangan makanan itu disampaikan oleh Mohamad Khairi bersama Wan Khata Wan Bakar dan ahli jawatankuasa kampung berkenaan.