BINTANGOR, 6 Oktober: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor akan menganjurkan Kempen Derma Darah pada 11 Oktober ini sebagai usaha menggalakkan masyarakat tampil menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program bertemakan “Jom Derma Darah – Setitik Darah Sejuta Harapan” itu dianjurkan dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei.
Katanya, kempen tersebut akan berlangsung bermula 8.30 pagi di Lobi Utama BBP Bintangor.
“Kempen ini diadakan dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei dan kita mengalu-alukan masyarakat untuk hadir serta bersama-sama menjayakannya.
“Penganjuran program ini bukan sahaja menyediakan platform kepada masyarakat untuk menderma darah, malah diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, tema “Setitik Darah Sejuta Harapan” membawa mesej mengenai nilai setiap sumbangan darah kepada individu yang memerlukannya.
“Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menyertai kempen ini diminta membawa dokumen penting bagi tujuan pendermaan darah seperti kad pengenalan dan Buku Penderma Darah.
“Bagi individu yang pertama kali menderma darah, mereka turut diminta membuat pendaftaran untuk mendapatkan Buku Penderma Darah,” katanya.
Oleh Earl Anek




