SARIKEI, 6 Oktober: Seramai 54 peserta mengikuti latihan pengukuhan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) Hospital Sarikei yang meliputi teknik pemadaman kebakaran, penggunaan gelung hos dan pili bomba bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program pengukuhan ERT yang diadakan baru-baru ini melibatkan seramai 54 peserta.
Katanya, latihan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang dengan penglibatan beliau bersama 10 anggota bomba dari BBP Sarikei.
“Antara pengisian utama ialah pengukuhan ERT, pengurusan dan penyusunan tempat kerja yang baik serta teknik memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api.
“Latihan praktikal turut merangkumi kawad gelung hos serta kawad pili bomba bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta ketika berdepan dengan situasi kecemasan,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, pendedahan secara teori dan praktikal penting bagi memastikan anggota ERT memahami peranan serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan di premis.
“Latihan penggunaan alat pemadam api pula memberi peluang kepada peserta memahami teknik asas pemadaman dengan betul, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk mengambil tindakan awal sekiranya berlaku kebakaran.
“Aspek pengurusan dan penyusunan tempat kerja yang baik turut diberikan perhatian sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko berlakunya kebakaran.
“Selain itu, latihan kawad gelung hos dan pili bomba memberi pendedahan praktikal mengenai pengendalian kemudahan pemadaman kebakaran yang boleh digunakan ketika kecemasan,” katanya.
Jelasnya, pengukuhan ERT penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan di premis sentiasa berada pada tahap yang baik, terutama dalam melaksanakan tindakan awal sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
Oleh Earl Anek




