KUCHING, 5 Oktober: SarawakPass dinobat sebagai penerima Anugerah Ekonomi Digital Premier bernilai RM20,000, pengiktirafan tertinggi Anugerah Ekonomi Digital 2026 (DEA2026), menerusi inisiatif ‘Memperkasa Perkhidmatan Kerajaan yang Proaktif dan Berteraskan Rakyat’, malam ini.
Inisiatif oleh Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Jabatan Premier Sarawak itu turut memenangi Anugerah Kerajaan Digital pada Majlis Makan Malam Gala Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026.
Anugerah itu disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang diumumkan oleh Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) pada majlis berkenaan yang berlangsung sempena IDECS26.

Untuk rekod, DEA2026 merupakan platform peringkat negeri yang mengiktiraf kecemerlangan dalam inovasi dan transformasi digital, meliputi sektor industri, kerajaan, penyelidikan, keusahawanan, ekonomi kreatif dan kelestarian.
Tahun ini, DEA2026 menerima 128 penyertaan, meningkat daripada 116 penyertaan pada tahun lalu, dengan 75 penyertaan diterima untuk penilaian pertama berbanding 70 pada 2025.
Selain SarawakPass, tujuh pemenang kategori DEA2026 ialah:
- Anugerah Kerajaan Digital: Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Jabatan Premier Sarawak – SarawakPass: Memacu Perkhidmatan Kerajaan yang Proaktif dan Berpusatkan Rakyat.
- Anugerah Penyelesaian Pintar: SCSDU – SERVICE SARAWAK: Satu Kerajaan untuk Anda – Mentransformasi Penyampaian Perkhidmatan Awam.
- Anugerah Inovasi AI: NEUON AI Sdn Bhd – NEUON D2D: Satu Platform AI Berdaulat, Lapan Teras, Milik Sarawak.
- Anugerah Kelestarian Alam Sekitar: One Medicare Sdn Bhd – Program Kelestarian.
- Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) – GeMAS: Platform Geo-AI Bersepadu untuk Sistem Pemantauan Kerentanan Tanah Runtuh.
- Anugerah Teknologi Digital: UNIMAS – Digital HEPA: Ke Arah Ekosistem Pintar, Berhubung dan Berpusatkan Pelajar.
- Anugerah Industri Kreatif Digital: OB Research Sdn Bhd – Owl & Badger: Menjadikan Penyelidikan Lebih Mudah Diakses Menerusi Penceritaan Digital.
SCSDU dan UNIMAS masing-masing menerima dua anugerah kategori, dengan SCSDU diiktiraf menerusi SarawakPass dan Service Sarawak, manakala UNIMAS menerusi penyelidikan geo-AI bagi pemantauan kerentanan tanah runtuh serta transformasi digital perkhidmatan pelajar.
DEA2026 dianjurkan oleh SMA bersempena IDECS26 yang tahun ini membawa tema ‘Memperkasa Ekosistem Inovasi untuk Ekonomi Tanpa Sempadan: Bumi, Orbit dan Melangkaui’
Oleh Masrin Affirah




