KUCHING, 6 Oktober: Kejayaan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) tidak seharusnya diukur berdasarkan kemeriahan persidangan semata-mata, sebaliknya menerusi hasil yang tercetus selepas acara termasuk projek, pelaburan dan idea yang berjaya dilaksanakan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ukuran sebenar IDECS terletak pada kesinambungan hasil perbincangan dan kerjasama yang terbentuk sepanjang persidangan.
Menurutnya, perkongsian yang berkembang menjadi projek, perbincangan yang membawa kepada pelaburan serta idea yang berjaya menemukan pihak yang sesuai untuk merealisasikannya merupakan antara hasil yang perlu diberi perhatian.
“Persidangan tidak seharusnya berakhir apabila lampu di pusat konvensyen dipadamkan.
“Ukuran sebenar IDECS ialah apa yang berterusan selepas itu , perkongsian yang berkembang menjadi projek, perbualan yang membawa kepada pelaburan atau idea yang menemukan pihak yang tepat untuk membawanya ke dunia sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam IDECS 2026 di sebuah hotel di Kuching, malam ini.
Julaihi berkata, Sarawak kini mahu membawa IDECS ke tahap seterusnya dengan memberi tumpuan kepada usaha menggerakkan penyelidikan dan idea kepada projek perintis, pelaksanaan serta peluang komersial.
Katanya, pendekatan itu merangkumi bidang seperti kecerdasan buatan, inovasi semikonduktor, bandar masa depan, bakat digital dan ekonomi angkasa lepas yang sedang berkembang.
Menurutnya, pembangunan ekosistem inovasi memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi supaya kepakaran, keusahawanan, bakat serta idea baharu dapat digabungkan untuk membina keupayaan Sarawak.
Beliau berkata, kerajaan berperanan menyediakan keadaan yang menyokong pertumbuhan, industri membawa kepakaran dan keusahawanan, manakala universiti pula membangunkan bakat serta idea baharu.
“Apabila usaha ini digabungkan, Sarawak memperoleh keyakinan dan keupayaan untuk bergerak lebih jauh,” katanya.
Julaihi berkata, matlamat lebih besar daripada usaha berkenaan adalah memastikan kemajuan digital mampu mewujudkan peluang kepada rakyat serta menyumbang kepada pembentukan Sarawak yang makmur dan mampan.
Katanya, kejayaan transformasi digital tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut penggunaan teknologi, tetapi berdasarkan bagaimana teknologi berkenaan dapat memperbaiki kehidupan, memperkukuh industri dan mewujudkan peluang baharu.
Oleh Shahrul Qaizat




