KUCHING, 5 Oktober: Pembukaan Jambatan Sejingkat kepada pengguna jalan raya mulai hari ini dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan antara Kuching dan Samarahan.
Berdasarkan hantaran di laman Facebook rasmi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), jambatan berkenaan menyediakan satu lagi laluan alternatif yang menghubungkan Sejingkat di Kuching dengan Tanjung Bako di Samarahan.
Menurut hantaran itu, laluan berkenaan dijangka memudahkan perjalanan pengguna dari Kota Samarahan menuju ke Demak Laut, Petra Jaya serta kawasan perindustrian di sekitarnya.
Dengan adanya laluan alternatif itu, aliran trafik dapat diagihkan dengan lebih baik, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di laluan sedia ada, khususnya pada waktu puncak.
Bagi masyarakat yang berulang-alik setiap hari antara Kuching dan Samarahan, kemudahan itu dijangka memudahkan perjalanan ke tempat kerja, sekolah dan destinasi urusan harian, selain menjimatkan masa perjalanan.
Menurut hantaran itu, pembukaan Jambatan Sejingkat turut menjadi langkah penting dalam menyokong pertumbuhan Kuching, Samarahan dan kawasan sekitarnya.
Katanya, jaringan perhubungan yang semakin kukuh dapat mempererat hubungan antara komuniti, selain membolehkan manfaat pembangunan dinikmati oleh lebih ramai penduduk.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, turut merakamkan tahniah dan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, Jabatan Kerja Raya Sarawak serta semua pihak yang menyumbang kepakaran, tenaga dan komitmen dalam menjayakan pembinaan jambatan berkenaan.
Beliau berkata, setiap jambatan yang dibina bukan sahaja menghubungkan dua kawasan, malah mendekatkan komuniti dan membuka peluang baharu kepada masyarakat.
Beliau turut menyeru pengguna jalan raya supaya menggunakan kemudahan berkenaan dengan berhemah, mematuhi papan tanda dan had laju yang ditetapkan serta mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
Untuk rekod, Jambatan Sejingkat merentasi Sungai Sarawak dan menghubungkan Sejingkat di Kuching dengan Tanjung Bako di Samarahan.




