
SPAOH: Pemerkasaan ekonomi komuniti luar bandar terus menjadi keutamaan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan yang dilaksanakan merangkumi pengukuhan rantaian nilai sektor pertanian serta penerokaan peluang ekonomi baharu melalui projek berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun ini, lebih 50,000 anak ayam telah diagihkan kepada komuniti rumah panjang dan kampung sebagai inisiatif menjana pendapatan, selain usaha memasarkan hasil ternakan yang sedang dibincangkan bersama pihak Cold Storage.
“Di samping itu, pembangunan Agropark di Bebuling seluas lebih 700 ekar yang menggunakan teknologi pertanian moden turut dirancang.
“Manakala pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPCC) dijangka memperkukuh usaha memasarkan produk tempatan ke pasaran luar negeri dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mantar Gawai Dayak 2026 anjuran Gerempung Tuai Rumah (GTR) Daerah Kecil Spaoh yang berlangsung di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini, kelmarin.
Uggah yang juga ADUN Bukit Saban turut menyatakan harapan agar pada masa hadapan, petani dari konstituensi itu mampu menghasilkan produk lada tempatan yang berdaya saing hingga ke peringkat global.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sektor pelancongan turut diberi perhatian melalui cadangan pembinaan replika kubu pahlawan di Bukit Sadok yang berpotensi menjadi tarikan baharu, sekali gus membuka ruang kepada komuniti menjana pendapatan menerusi produk kraf dan aktiviti pelancongan.
Selain aspek ekonomi, penglibatan golongan belia dalam seni tradisional Iban terus diperkasa melalui penubuhan Kelab Main Asal sebagai langkah memelihara warisan budaya.
Menurutnya, kerajaan Sarawak kekal komited dalam menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk program baik pulih rumah, menaik taraf infrastruktur luar bandar serta pemberian subsidi kepada sektor pertanian bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menjelang 2030.
Dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup susulan faktor global, beliau berkata kerajaan pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyalurkan bantuan melalui Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), selain melaksanakan pengurangan sewa peniaga sebanyak 50 peratus dan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus.
Beliau menegaskan, langkah-langkah tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di samping merangsang pertumbuhan ekonomi yang inklusif di kawasan luar bandar.
Hadir sama Datin Amar Dato Doreen Mayang, Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Jack Aman Luat dan Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Saban Natasha Nasa Uggah.
Oleh Adi Safarman