585 anggota polis ditugaskan hadapi PRN Sarawak ke-13 di Miri

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM…Sekolah-sekolah rendah Zon Baram Hilir yang terlibat dalam Program Sains On Wheel Marudi 2026.

MIRI, 27 November: Seramai 585 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 272 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam penugasan pada hari penamaan calon, manakala selebihnya akan digerakkan sepanjang tempoh berkempen dan hari penjumlahan undi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, PDRM akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan, ketenteraman awam serta kelancaran trafik bagi memastikan keseluruhan proses pilihan raya berjalan lancar, aman dan teratur.

“Setakat ini, tiada penutupan jalan raya dirancang sepanjang tempoh PRN di daerah ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan dan meningkatkan kewaspadaan ketika melalui kawasan pusat penamaan calon dan penjumlahan undi.

Antara lokasi terbabit ialah Dewan Masyarakat Bekenu (N.71 Bekenu), Dewan Muhibbah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (N.72 Lambir), Dewan Serbaguna Aras 5, Kompleks Islam Sarawak (N.73 Piasau), Dewan Sri Gemilang SK Anchi (N.74 Pujut) dan Dewan Intrim, ADTEC JTM Kampus Miri, Bandar Baru Permy Jaya, Kuala Baram (N.75 Senadin).

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan mengekalkan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya.

“Polis komited memastikan proses demokrasi berlangsung dalam keadaan aman, selamat, teratur dan mengikut peruntukan undang-undang dengan kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Oleh Liong Chai Ling