
KUCHING: Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) berjaya meletakkan Sarawak di atas landasan yang tepat untuk menjadi kuasa ekonomi yang besar di Malaysia malah di rantau negara ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kejayaan ini mampu dicapai menerusi pelaburan yang besar dalam aspek infrastruktur, ekonomi digital, inovasi teknologi, ekonomi hijau, pembangunan bakat dan pendidikan, pemerolehan aset besar dan pembangunan aset-aset strategik.
“Sarawak telah mencapai kejayaan yang membanggakan pada tahun lepas, yang mana pertumbuhan ekonomi negeri ini dijangka berada pada kadar lima hingga ke enam peratus yang mencerminkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
“Saya yakin dan percaya bahawa Sarawak mampu memperlihatkan pertumbuhan yang baik kerana Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah merancang perjalanan ekonomi negeri ini dengan teliti melalui PCDS 2030 yang berteraskan tiga tonggak, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Sehubungan itu, beliau memberitahu kesemua inisiatif untuk memperkasakan ekonomi sedang giat dijalankan termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan yang begitu penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
“Daripada 16 jambatan yang sedang dibina, sembilan jambatan dijangka siap pada tahun ini yang pasti akan mempertingkatkan taraf sistem keterhubungan di negeri ini.
“Jambatan-jambatan ini dibina serentak dengan kos keseluruhan mencecah RM5.90 bilion yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak sendiri, membuktikan komitmen GPS untuk menaik taraf sistem pengangkutan jalan raya di Sarawak untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau dengan rasa besar hati mengumumkan kejayaan kerajaan Sarawak menyiapkan empat jambatan utama setakat ini, iaitu Jambatan Marudi yang menelan kos sebanyak RM117 juta, Jambatan Batang Lassa yang menghubungkan Pulau Bruit dengan Daro melalui peruntukan berjumlah RM600 juta.
Lebih manis lagi, kejayaan ini disusuli dengan pembukaan Jambatan Bintulu-Jepak dan Jambatan Pasi di Sarikei untuk memudahkan perjalanan mereka yang balik ke kampung sempena Aidilfitri.
Dengan kejayaan ini, Abang Johari yakin kerajaan Sarawak di bawah GPS mampu mentransformasikan Sarawak kepada sebuah ekonomi yang mantap dan mampan. – UKAS