Kelestarian sumber marin tanggungjawab bersama semua pihak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TANJUNG MANIS: Kelestarian sumber marin merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada kerajaan, agensi berkaitan, komuniti nelayan dan pemancing bagi memastikan kekayaan khazanah laut terus terpelihara serta mampu dinikmati oleh generasi akan datang.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pematuhan terhadap undang-undang serta amalan memancing secara bertanggungjawab amat penting bagi memastikan sumber perikanan kekal mampan dan mampu menjamin bekalan hasil laut secara berterusan.

Katanya, usaha tersebut bukan sahaja dapat mengelakkan kemerosotan stok ikan, malah membantu melindungi sumber pendapatan komuniti nelayan yang bergantung kepada hasil laut sebagai mata pencarian utama.

“Pada masa yang sama, kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan, komuniti nelayan dan pemancing perlu diperkukuhkan kerana usaha memelihara sumber laut memerlukan penglibatan semua pihak secara berterusan.

“Saya juga ingin mengingatkan para pemancing supaya mengamalkan konsep tangkap dan lepas terhadap ikan yang masih kecil agar spesies berkenaan mempunyai peluang untuk membesar dan membiak sebelum ditangkap pada masa akan datang,” katanya.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika merasmikan GP Belawai Siri 1/2026 di Pantai Iftitah Restaurant & Resort, Belawai pada semalam.

Beliau turut menggesa semua pemancing supaya melepaskan semula mana-mana spesies marin yang dilindungi sekiranya tersangkut pada mata kail sebagai tanda komitmen dalam memelihara biodiversiti perairan Sarawak.

“Tahap kesedaran masyarakat khususnya dalam kalangan pemancing dan nelayan terhadap kepentingan memulihara sumber perikanan kini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding kira-kira dua dekad lalu.

“Perubahan positif ini membuktikan pelbagai usaha pendidikan dan program kesedaran yang dilaksanakan kerajaan bersama agensi berkaitan berjaya memupuk budaya memancing secara beretika dalam kalangan masyarakat.

“Setiap program memancing yang dianjurkan bukan sekadar menjadi medan rekreasi kepada peserta, malah berperanan sebagai platform pendidikan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai tanggungjawab menjaga keseimbangan alam sekitar serta habitat hidupan laut,” katanya.

Mengimbas semula ketika program Safari Tanjung Manis mula diperkenalkan sekitar 2007, katanya, kebanyakan penduduk setempat masih menggunakan kaedah memancing tradisional dengan kelengkapan yang agak terhad.

Bagaimanapun, tambahnya, perkembangan sukan memancing sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan penggunaan peralatan moden yang lebih canggih dan bersesuaian dengan pelbagai teknik memancing, sekali gus mencerminkan kemajuan industri memancing rekreasi di Sarawak.

“Perkembangan ini turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan apabila pertandingan dan program memancing berjaya menarik penyertaan pemancing dari seluruh Sarawak serta negeri-negeri lain, sekali gus merancakkan ekonomi setempat,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek