PETRA JAYA: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) akan menganjurkan Simposium Adat Iban pada September depan di Sibu yang dijangka menghimpunkan sekitar 300 peserta terdiri daripada Ketua Masyarakat, Ketua Kaum Iban serta wakil agensi kerajaan Sarawak.
Perkara itu dimaklumkan kepada Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai ketika beliau menerima kunjungan hormat Ketua Majlis MAIS yang baharu, Datu Dr Neilson Ilan Mersat di Bangunan Baitulmakmur I, hari ini.
Menurut kenyataan MAIS, simposium berkenaan bertujuan memperkukuh usaha pemeliharaan, pembangunan dan penyebarluasan adat natif, khususnya adat masyarakat Iban di Sarawak.

Dalam pertemuan itu, John Sikie turut mengucapkan tahniah kepada Datu Dr Neilson atas pelantikan beliau sebagai Ketua Majlis MAIS bagi tempoh tiga tahun selepas melapor diri pada 13 Julai lalu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Elsie William yang dilantik sebagai Setiausaha Majlis MAIS yang baharu.
John Sikie berharap kepimpinan baharu MAIS akan terus memperkukuhkan peranan majlis itu dalam memelihara warisan adat serta memperkasakan institusi adat di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, Elsie William serta pegawai kanan Majlis Adat Istiadat Sarawak.
Oleh Masrin Affirah





