KUCHING: AirBorneo kesal atas kelewatan penerbangan MY5004 dari Kuala Lumpur ke Kuching yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini berikutan masalah teknikal.
Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu dalam kenyataan memaklumkan keselamatan penumpang kekal menjadi keutamaan tertinggi.
“Masalah teknikal itu telah berjaya diselesaikan dan penerbangan berkenaan berlepas pada 7.30 malam, sekali gus membolehkan penumpang yang terjejas meneruskan perjalanan ke Kuching.

“Sepanjang tempoh kelewatan, pasukan kami membantu penumpang yang terjejas dengan memberikan maklumat terkini secara berkala, menyediakan makanan dan minuman, serta bantuan yang diperlukan bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan mereka,” menurut kenyataan itu.
AirBorneo turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami serta merakamkan penghargaan kepada semua penumpang yang terjejas atas kesabaran, kefahaman dan kerjasama yang diberikan.
“Kami kekal komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi di samping menyediakan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai kepada penumpang,” menurut kenyataan itu. – Bernama





