KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pencapaian negeri itu hari ini bukan hasil usaha mana-mana pemimpin atau individu secara bersendirian, sebaliknya adalah hasil usaha kolektif seluruh rakyat Sarawak yang masing-masing menyumbang dengan cara tersendiri berlandaskan semangat bersama untuk membangunkan negeri ini.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sarawak mencatat kemajuan secara berterusan dengan peningkatan dalam aspek ekonomi serta keadaan sosial secara keseluruhan. Rakyat perlu melihat pembangunan negeri ini secara objektif,” katanya ketika merasmikan majlis penyampaian geran tahunan semalam.
Dr Sim berkata rakyat Sarawak perlu mempunyai pemahaman lebih mendalam mengenai sejarah negeri itu serta kedudukan uniknya, selain meneruskan identiti sebagai rakyat Sarawak, semangat perpaduan dan rasa tanggungjawab daripada satu generasi ke generasi seterusnya.
“Pada 22 Julai 1963, Sarawak mencapai pemerintahan sendiri dan pada 16 September tahun sama, Sarawak bersama Malaya, Sabah dan Singapura membentuk Malaysia. Ini memberikan Sarawak latar belakang sejarah serta kedudukan unik dalam Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan tempoh sejarah berkenaan amat penting kerana walaupun jarak masa antara 22 Julai dan pembentukan Malaysia agak singkat, Sarawak sudah mencapai pemerintahan sendiri terlebih dahulu.
“Sekali anda menjadi rakyat Sarawak, anda akan sentiasa menjadi rakyat Sarawak. Tidak kira ke mana kehidupan membawa anda, jangan sesekali melupakan akar umbi anda,” katanya.
Dr Sim berkata pendidikan generasi muda mengenai sejarah Sarawak amat penting. Beliau baru-baru ini mengadakan lawatan ke sekolah bagi berkongsi sejarah, identiti dan nilai negeri itu bersama pelajar, dengan harapan dapat memupuk rasa kepunyaan yang kukuh sejak usia muda.
Beliau berkata Sarawak sentiasa menghargai keharmonian kaum dan agama yang kekal menjadi asas penting kepada kestabilan serta pembangunan berterusan negeri itu.
Menurutnya, sebarang bentuk ekstremisme kaum atau agama boleh menjejaskan perpaduan sosial malah mengancam negara.
“Sarawak terus bergerak ke hadapan kerana kita bersatu. Politik ekstrem berasaskan kaum dan agama tidak seharusnya dibawa masuk ke Sarawak,” katanya.
Beliau menggesa rakyat Sarawak supaya menghargai kestabilan, perpaduan dan peluang pembangunan yang dinikmati ketika ini, di samping terus memupuk kefahaman, identiti serta rasa tanggungjawab generasi muda terhadap negeri itu.
Katanya, semua pihak perlu bekerjasama bagi membina Sarawak yang lebih kukuh dan makmur pada masa hadapan.
Oleh Connie Chieng





