Sidang kemuncak Lions lonjak ekonomi pelancongan Sibu, himpun lebih 700 delegasi Asia Pasifik

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Lions Asia Pasifik (APLLS) 2026 yang menghimpunkan lebih 700 pemimpin dan ahli Lions dari seluruh rantau Asia Pasifik bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, malah memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan serta ekonomi tempatan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, acara bertemakan Menyatukan Pemimpin, Mengilhamkan Khidmat itu membuktikan Sibu berupaya menjadi tuan rumah kepada persidangan antarabangsa yang memberi impak positif terhadap industri hospitaliti, perniagaan dan pelancongan.

Menurut beliau, kehadiran delegasi luar negara turut membuka ruang untuk memperkenalkan budaya serta keunikan Sarawak kepada masyarakat antarabangsa.

“Interaksi seperti ini membolehkan kita saling memahami dengan lebih baik, sekali gus menyatukan masyarakat daripada pelbagai negara, budaya dan latar belakang.

“Dengan kefahaman yang lebih mendalam, kita dapat meredakan banyak konflik dan salah faham,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penutupan Sidang Kemuncak Pemimpin Lions Asia Pasifik 2026 di Hotel Kingwood, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata, pendekatan hubungan sesama insan melalui aktiviti kemanusiaan, pertukaran budaya, pelancongan, tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta bantuan bencana mampu menjadi pemangkin kepada keamanan dan keharmonian di peringkat serantau serta global.

Beliau turut memuji peranan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Kelab Lions yang disifatkan penting dalam memperkukuh daya tahan masyarakat ketika dunia berdepan pelbagai cabaran, termasuk konflik dan ketidaktentuan.

Dalam pada itu, Tiong menggalakkan semua delegasi antarabangsa menikmati keunikan budaya serta makanan tempatan seperti mi kampua dan kompia sebelum pulang ke negara masing-masing.

“Apabila pulang ke tanah air kelak, kongsikan pengalaman manis ini bersama keluarga, rakan-rakan dan ahli Lions yang lain. Jadilah duta kecil Sarawak dengan menggalakkan lebih ramai orang melawat Malaysia,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan geran berjumlah RM50,000 kepada pihak Lions sebagai sokongan terhadap penganjuran sidang kemuncak tersebut.

Turut hadir Presiden Antarabangsa Lions Mark S. Lyon, Pengerusi Penganjur APLLS PDG Dato Betty Wong serta Gabenor Wilayah Dato Jimmy Tie.

Oleh Tarani Lanting