Rompakan berkumpulan di Jalan Petanak, tiga pemuda diheret ke mahkamah 

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PETRA JAYA: Tindakan melampau tiga pemuda yang tergamak melakukan rompakan berkumpulan di pekarangan sebuah pusat hiburan awal bulan ini akhirnya membawa padah apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuching hari ini.

Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah, ketiga-tiga tertuduh yang berusia 22, 23, dan 27 tahun itu didakwa secara bersama-sama melakukan samun terhadap seorang mangsa di kawasan parkir kereta sebuah pusat hiburan di Jalan Petanak, Kuching. 

Dalam kejadian yang berlaku sekitar 4.30 pagi pada 11 Julai lalu, mangsa kerugian sebuah beg silang yang mengandungi telefon bimbit jenama VIVO Y21T, dua buah dompet, kad pengenalan, serta kad Touch ‘n Go.

TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuching hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki di kawasan parkir sebuah pusat hiburan di Jalan Petanak, awal bulan ini. Foto: Jabatan Siasatan Jenayah.

​Oleh yang demikian, mereka kini berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga pemuda ini boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

​Walau bagaimanapun, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 3 Kuching, Musli Abdul Hamid, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

​Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan. 

Sebagai syarat tambahan yang ketat, tertuduh pertama diwajibkan melapor diri di Balai Polis Batu Kawa, manakala tertuduh kedua dan ketiga perlu melapor diri di Balai Polis Bintawa sekali sebulan sehingga kes selesai.

​Kes kini ditetapkan untuk pengurusan lanjut pada 20 Ogos depan bagi persiapan proses perbicaraan penuh.

Oleh Adi Safarman