Parti politik diingatkan jangan pasang bahan kempen pada tiang elektrik

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 27 November: Semua parti politik, calon dan petugas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 diingatkan supaya tidak memasang atau menggantung bahan kempen seperti bendera, kain rentang dan gegantung pada tiang elektrik serta infrastruktur bekalan elektrik.

Sarawak Energy dalam kenyataan media hari ini menegaskan, perbuatan itu boleh mengundang risiko keselamatan serius termasuk renjatan elektrik dan panahan arka elektrik (electrical flashover) yang berpotensi menyebabkan kecederaan parah atau kematian.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad (SESCO), Yusri Safri berkata, semua parti politik dan pasukan kempen perlu memastikan jarak selamat daripada pepasangan elektrik bagi mengelakkan kemalangan serta gangguan bekalan elektrik kepada penduduk sekitar.

Menurut beliau, panahan arka elektrik boleh berlaku walaupun tanpa sentuhan secara langsung dengan peralatan elektrik yang masih hidup.

Sarawak Energy turut menegaskan pihaknya berhak menanggalkan sebarang bahan kempen yang dipasang pada kemudahan elektrik miliknya tanpa notis awal.

Dalam pada itu, syarikat utiliti berkenaan memberi jaminan kesediaannya untuk mengekalkan bekalan elektrik yang selamat, stabil dan berterusan sepanjang tempoh PRN, khususnya di pusat penamaan calon, pusat pengundian awal, pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi.

Persiapan itu merangkumi penyelenggaraan pencegahan infrastruktur elektrik, pemantauan rangkaian pengagihan bekalan serta penempatan petugas teknikal dalam keadaan bersiap siaga bagi menangani sebarang gangguan.

Sarawak Energy juga akan menyelaras tindakan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti keperluan bekalan elektrik di lokasi penting pilihan raya serta menyediakan langkah kontingensi sewajarnya.

Yusri berkata, bekalan elektrik yang boleh dipercayai kekal menjadi keutamaan pihaknya bagi menyokong kelancaran perjalanan pilihan raya.

Orang ramai yang melihat aktiviti berbahaya membabitkan kemudahan elektrik atau mengalami gangguan bekalan boleh membuat laporan menerusi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy 24 jam di talian 1300-88-3111 atau aplikasi mudah alih SEB cares.