SIBU, 27 November: Pelaksanaan empat projek strategik menjadi antara keutamaan dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi dan mengubah landskap Sibu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Annuar Rapaee berkata, projek berkenaan merangkumi cadangan Zon Ekonomi Sibu (SEZ), pembangunan semula Kampung Datu dan Bukit Assek serta pembinaan jambatan yang menghubungkan Tebingan Timur dan Tebingan Barat Sungai Rajang.
“Jadi, saya berharap agar beberapa perkara yang telah saya sebutkan itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang. Jika tidak, ia akan menyukarkan kita. Namun, saya akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Media di sini, semalam.
Menurutnya, pembangunan berkenaan bukan sahaja penting untuk merancakkan aktiviti ekonomi, malah berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada penduduk agar terus menetap dan membina masa depan di Sibu.
Dalam pada itu, beliau berkata aspek kesalinghubungan udara turut memerlukan perhatian bagi memastikan Sibu mempunyai jaringan pengangkutan yang lebih baik.
Selain pembangunan ekonomi dan infrastruktur, Dr Annuar turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh bidang pendidikan serta kesihatan menerusi cadangan penubuhan sekolah perubatan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Katanya, kajian kebolehlaksanaan bagi penubuhan sekolah berkenaan telah diterima oleh lembaga universiti dan kini dikemukakan kepada pihak UTS untuk pertimbangan.
Sekiranya diluluskan, pengambilan kumpulan pertama dijangka dapat dilaksanakan paling awal dalam tempoh dua tahun dengan kapasiti awal seramai 50 pelajar.
“Bagi saya, perkara ini sangat penting kerana kita memerlukan lebih ramai doktor di Sarawak,” katanya.
Beliau yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka berkata, kerjasama semua pihak termasuk media penting dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat mengenai perancangan dan peluang pembangunan di Sibu.
“Saya masih percaya bahawa banyak perkara perlu kita lakukan di Sibu. Jika kita tidak bekerjasama, tiada apa yang dapat dilaksanakan,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Pengerusi Persatuan Wartawan Sibu (SJA) Florence Nervyn dan Setiausaha Institute of Rejang Journalists (IRJ) Watt Zacchaeus.
Oleh Tarani Lanting



