KUCHING, 27 November: Calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi kawasan Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, menyeru ahli parti, sukarelawan dan penyokong supaya terus bersatu serta bekerjasama dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Berucap pada Malam Mobilisasi SUPP Kota Sentosa di Dewan Perniagaan Kota Sentosa, Yap berkata perhimpunan itu menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli dan penyokong, selain memperbaharui komitmen menjelang pilihan raya.
Beliau berkata, majlis itu turut mencerminkan kepentingan perpaduan dan sokongan antara satu sama lain, yang berteraskan tradisi budaya seperti jamuan sebelum sesuatu urusan penting dalam masyarakat Cina serta upacara miring dalam masyarakat Iban.
Menurutnya, kedua-dua amalan itu melambangkan semangat kebersamaan dan permohonan restu sebelum memulakan sesuatu tugas penting.
Yap mengakui perjalanan menuju pilihan raya bakal membawa pelbagai cabaran. Justeru, beliau menegaskan kepentingan kerja berpasukan, disiplin dan tanggungjawab bersama dalam kalangan ahli serta penyokong parti.
Katanya, kejayaan usaha parti bukan bergantung kepada seseorang individu semata-mata, sebaliknya memerlukan sumbangan dan kerjasama semua ahli serta sukarelawan.
Beliau turut mengajak semua pihak supaya terus berganding bahu dan memberikan usaha terbaik demi kepentingan Kota Sentosa dan Sarawak.
Malam mobilisasi itu membawa tema perpaduan dan matlamat bersama menerusi slogan ‘One Team, One Mission, One Determination’ dan ‘Bersatu, Berkhidmat, Berjuang’ yang mencerminkan komitmen parti terhadap usaha secara kolektif.
Oleh Connie Chieng




