Penduduk Kampung Long Ikang kini nikmati kemudahan bekalan elektrik

Facebook
WhatsApp
RASMI... Dato Anyie Ngau menyempurnakan perasmian Projek Elektrifikasi Luar Bandar Sarawak Energy Berhad di Kampung Long Ikang, Baram. Foto JAPEN

TELANG USAN, 27 November: Penduduk Kampung Long Ikang, Telang Usan kini dapat menikmati kemudahan bekalan elektrik menerusi pelaksanaan Projek Elektrifikasi Luar Bandar Sarawak Energy Berhad yang telah siap dilaksanakan.

Projek berkenaan merupakan inisiatif penting dalam menyediakan kemudahan asas kepada penduduk setempat, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan pedalaman.

Majlis perasmian projek itu disempurnakan Ahli Parlimen Baram, Dato Anyie Ngau, di Kampung Long Ikang semalam.

Menurut kenyataan akhbar, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Sarawak Energy Berhad dalam memperluas liputan bekalan elektrik ke kawasan luar bandar Sarawak bagi memastikan masyarakat di pedalaman turut menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik.

PENGHARGAAN… Catherine Madang menyampaikan cenderamata kepada Dato Anyie Ngau sebagai tanda kenangan.

Dengan siapnya projek itu, penduduk Kampung Long Ikang kini dapat menikmati bekalan elektrik yang dapat menyokong pelbagai keperluan harian, termasuk pendidikan dan aktiviti ekonomi, selain meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Majlis perasmian itu turut memperlihatkan kerjasama erat antara kerajaan, Sarawak Energy Berhad dan komuniti setempat dalam merealisasikan pembangunan infrastruktur luar bandar demi manfaat penduduk.

Turut hadir Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda; Ketua Pegawai Eksekutif SESCO, Haji Yusri Haji Safri Rombap; serta Ketua Kaum Long Ikang, Catherine Madang dan penduduk setempat.

Oleh JIKU JUGUONG