PETRA JAYA, 27 November: Anak jati Kampung Sejingkat, Yunus Rabuan, 48, menawarkan diri sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Demak Laut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Menurut Yunus, beliau tidak mahu menjanjikan sesuatu di luar kemampuan, sebaliknya berhasrat membawa suara rakyat kepada pihak sewajarnya dan memastikan setiap aduan diberikan perhatian.
Yunus Rabuan, yang dilahirkan di Kuching pada 12 April 1978, merupakan seorang peniaga yang bekerja sendiri, berkahwin dan mempunyai empat orang anak.
Meskipun tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, beliau berkata pengalaman hidup, pekerjaan dan perniagaan banyak mengajarnya mengenai cabaran kehidupan serta keperluan masyarakat.
“Saya memahami denyut nadi rakyat bukan hanya bergantung kepada pendidikan dan teori, sebaliknya memerlukan pengalaman, pergaulan serta kesediaan untuk mendengar sendiri permasalahan penduduk.
“Saya percaya setiap penduduk mempunyai suara, harapan dan masalah yang perlu diberikan perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita Utusan Sarawak, hari ini.
Menerusi manifesto bertemakan ‘Berbakti Untuk Rakyat, Membawa Perubahan’, Yunus menggariskan tujuh agenda utama yang menjadi fokus perjuangannya sekiranya diberikan mandat oleh pengundi.
“Antara agenda berkenaan ialah memperjuangkan suara rakyat dengan menjadi penghubung antara penduduk dengan kerajaan serta agensi berkaitan, selain memastikan aduan dan masalah masyarakat diberikan perhatian.
“Saya turut mahu memberi tumpuan kepada kemudahan dan infrastruktur kampung termasuk penyelenggaraan jalan raya, lampu jalan, sistem perparitan serta masalah banjir,” jelasnya.
Dalam aspek kebajikan, Yunus berhasrat memperjuangkan keperluan golongan B40, warga emas, ibu tunggal dan keluarga yang memerlukan, termasuk membantu mereka mendapatkan maklumat serta akses kepada bantuan yang layak.
Manifestonya turut memberi penekanan kepada peluang ekonomi penduduk tempatan menerusi sokongan kepada penjaja, peniaga kecil dan usahawan kampung, selain peluang pekerjaan serta latihan kemahiran untuk golongan belia.
Beliau juga mahu memperjuangkan kemudahan sukan dan rekreasi, pembangunan kemahiran serta keperluan pendidikan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Dua lagi agenda yang diketengahkan ialah pembangunan kampung dan komuniti secara terancang serta kepimpinan telus dan bertanggungjawab.
Untuk rekod, Pada PRN Sarawak 2021, penyandang Datuk Hazland Abang Hipni daripada GPS (PBB) memenangi kerusi itu dengan memperoleh 7,636 undi dan majoriti 6,399 undi.
Ketika itu, beliau ditentang tiga calon lain, iaitu Yatika Jelani daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Bebas Khairul Ahmat dan Mohamad Zen Peli daripada Amanah.
Berdasarkan pengumuman calon setakat hari ini (27 November), dua nama dikenal pasti bagi kerusi Demak Laut, namun senarai rasmi calon yang layak bertanding hanya akan diketahui selepas proses penamaan calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada esok hari (28 November).
Oleh Masrin Affirah




