
KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) menafikan dakwaan paras air di takungan Bakun meningkat akibat pelepasan air terkawal dari Loji Hidroelektrik Bakun (HEP).
SEB menerusi satu kenyataan memberitahu takungan tersebut berfungsi mengurus lebihan air hujan bagi mengurangkan risiko banjir di hilir Sungai Rajang.
Dalam satu kenyataan di media sosial Facebook hari ini melalui pembantu khidmat pelanggan maya ‘Carina’, SEB memaklumkan bahawa paras air di takungan Bakun berada dalam keadaan selamat dan tiada pelepasan air terkawal sedang dilakukan.
Kenyataan itu turut disertakan dengan rakaman video dron yang diambil pada 22 Mac lepas.
“Dalam tempoh hujan ini, tadahan Bakun membantu menyimpan lebihan air hujan di hulu, sekali gus mengurangkan kesan banjir di kawasan hilir,” menurut kenyataan SEB.
Sehubungan itu, SEB menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih yang mendakwa pelepasan air dari Bakun telah menjejaskan masyarakat di sepanjang Sungai Rajang.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan SEB 24/7 di 1300-88-3111 atau melalui aplikasi SEB Cares.
OLEH RYNNA SHA’ERRA