KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang yang dijangka berlangsung pada Oktober depan bakal menjadi sidang terakhir bagi penggal semasa, kata Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.
Beliau berkata butiran lanjut mengenai persidangan itu, termasuk senarai Rang Undang-Undang (RUU) yang bakal dibentangkan akan diumumkan pada sidang media sehari sebelum persidangan bermula.
“Saya akan mengadakan sidang media sehari sebelum DUN dan sudah tentu, ini persidangan DUN terakhir kerana selepas itu penggal akan berakhir.
“Setakat ini, pejabat saya belum menerima sebarang RUU daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Aku Kasih Malaysia: Pimpinan Belia Negeri Sarawak di sini hari ini.
Mandat semasa DUN Sarawak akan berakhir pada Februari 2027.- Bernama




