KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong berkata, pasukan khidmatnya komited meneruskan program agihan makanan vegetarian secara berkala di Batu 7 sebagai usaha sederhana tetapi bermakna untuk berkhidmat kepada masyarakat di samping terus mendekati penduduk setempat.
Menurutnya, sebanyak 170 bungkus makanan vegetarian diagihkan secara percuma kepada orang ramai pada setiap sesi tanpa mengira kaum atau agama.
“Kami percaya khidmat kepada masyarakat adalah dengan sentiasa bersama rakyat. Walaupun sekecil mana sekalipun, satu kebaikan mampu menceriakan hari seseorang,” katanya selepas program agihan terbaharu hari ini.
Beliau berkata, program yang diadakan dua kali sebulan itu turut memberi peluang kepada pasukannya berinteraksi secara langsung dengan penduduk, mendengar keluhan mereka serta memahami isu yang dihadapi komuniti dengan lebih mendalam.
Menurut Kong, agihan makanan diuruskan mengikut sambutan. Jika kehadiran tidak ramai, setiap individu boleh menerima sehingga dua bungkus makanan, terutama bagi mereka yang mengambil makanan untuk pasangan atau ibu bapa warga emas.
“Bagaimanapun, jika sambutan menggalakkan dan barisan panjang, agihan dihadkan kepada satu bungkus bagi setiap individu bagi memastikan semua yang hadir menerima makanan,” katanya.
Beliau berkata, kesemua 170 bungkus makanan habis diagihkan dalam tempoh kira-kira lima minit pada sesi terbaharu.
Kong berkata, inisiatif itu mendapat sokongan penyumbang beragama Buddha yang mengamalkan pemakanan vegetarian pada hari pertama dan hari ke-15 dalam kalendar lunar serta ingin menyumbang kembali kepada masyarakat di samping menggalakkan amalan pemakanan yang sihat dan berkhasiat.
Tambah beliau, program berkenaan dibiayai menerusi sumbangan orang ramai serta sumbangan daripada pasukannya sendiri.
Selain menyediakan makanan, Kong berkata, inisiatif itu turut membantu mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan lanjut, sekali gus membolehkan pasukannya mengambil tindakan susulan dan menyalurkan bantuan yang sewajarnya.
Oleh Connie Chieng





