KUCHING: Satu logo baharu dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ telah diperkenalkan di sini oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan dalam mengharungi cabaran dan dugaan Covid-19, Perdana Menteri Tan Sri Dato Muhyiddin Yassin, pada 1 Julai 2020, telah bersetuju untuk memilih logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’.
“Logo berbentuk hati dipilih dengan warna-warna bendera Jalur Gemilang melambangkan keprihatinan kerajaan untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya pada sidang media di Bangunan Pelita, di sini semalam.
“‘Malaysia’ membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik Covid-19, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan, manakala ‘Prihatin’ mewakili keprihatinan Kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif PRIHATIN yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia,” jelasnya.
Beliau turut menambah sempena Bulan Kebangsaan tahun ini, empat aktiviti utama akan diadakan iaitu Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara yang akan bermula 9 Julai hingga 16 September 2020, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 28 Julai 2020 di Putrajaya, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2020 di Kuala Lumpur, dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2020 di Sibu, Sarawak.
Bagi penjelasan mengenai logo pula, beliau mengatakan logo berbentuk melambangkan keprihatinan Kerajaan Malaysia terhadap masyarakat berbilang kaum.
“Warna biru tua pula bermaksud kesatuan hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum hidup dalam keadaan aman dan harmoni, bulan sabit bermaksud Islam sebagai agama bagi Persekutuan manakala bintang pecah 14 adalah berkaitan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Bagi tujuh jalur merah putih berbentuk hati pula menandakan terjalinnya keberanian dan ketersediaan dalam menghadapi segala rintangan dengan keikhlasan dan kesungguhan.
“Stigma bunga raya pula membawa negara menuju ke mercu kejayaan dan lima titik merah adalah Sebagai simbolik kepada lima (5) kelopak bunga raya yang menggambarkan lima (5) prinsip Rukun Negara yang menjadi kunci perpaduan yang berbilang bangsa,” kata beliau.
Dalam lawatan kerja ke Sarawak semalam beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim
Rahman Hamzah dan Menteri Utiliti, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
Oleh Alexandra Lorna