ROBAN: Penganjuran Festival Makanan Roban (RFF) 2024 telah ditetapkan dan akan berlangsung pada 29 November hingga 15 Disember ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata RFF 2024 itu terpaksa ditunda ke tarikh baharu disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
Namun katanya, RFF 2024 yang telah disusun atur dengan 11 aktiviti untuk dilaksanakan sebelum ini tiada mengalami sebarang perubahan.
“Kemeriahan di Pekan Roban kini kembali apabila satu penganjuran RFF 2024 akan diadakan pada satu tarikh baharu iaitu 29 November hingga 15 Disember depan.
“Sudah pastinya program yang di tunggu-tunggu oleh masyarakat tempatan mampu membantu peniaga dan masyarakat setempat menambah pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat Jawatankuasa RFF 2024 yang dipengerusikan oleh Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban Steve Miller di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Roban, hari ini. Turut hadir ADUN Krian, Friday Belik.
Mohamad Duri berkata RFF yang sebelumnya dinamakan Pesta Roban ini telah diberi nafas baharu dan bakal dimeriahkan lagi dengan beberapa program pengisian yang menarik sepanjang 17 hari festival itu berlangsung.
Antaranya ialah Pekan Sari Roban; pameran dan jualan seni kraf tangan; replika rumah panjang tradisi; mini pesta ria; persembahan tarian etnik Silang Budaya; pansuh 3 serumpun.
Selain itu turut diadakan ialah pertandingan Seri Kumang Roban; pertandingan persembahan tarian etnik Roban; Ratu Etnik Roban; jaguh tarik tali atas air Sungai Seblak Roban dan pertandingan lumba perahu Sungai Seblak.
Mohamad Duri menambah, acara yang bakal mendapat tumpuan utama penganjuran RFF 2024 itu nanti adalah acara lumba perahu ‘Gaya Sambas’ yang julung kalinya diadakan dan akan berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Disember.
Oleh ADI SAFARMAN