MIRI: Lima Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) Penan bernilai RM2.75 juta di pedalaman Baram sudah siap untuk dirasmikan.
Lima bangunan tadika komuniti Penan tersebut meliputi kawasan Long Leng, Long Kawa, Long Kerangan, Long Jenalong dan Balat Selulong.
Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus ketika dihubungi pemberita Utusan Sarawak berkata, projek tersebut dibiayai oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk komuniti Penan.
“Lima Tadika itu nanti dijangka akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Julai depan.
“Projek tersebut ialah hasil kerjasama CSR Kementerian bersama Petronas dengan kos RM2.75 juta.
“Peruntukan itu bukan sahaja untuk pembinaan prasekolah tetapi juga perolehan peralatan dan perabot, bekalan makanan, elaun dan insurans untuk guru dan pelajar, latihan dan kos operasi lain,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Tadika tersebut diambil alih dan ditadbir urus oleh Sedidik Sdn Bhd selaras dengan pengambilalihan SeDidik oleh kementerian pada 27 Julai 2020 lalu.
Bercakap kepada pemberita, Rosey berkata, harapan Kerajaan Sarawak pada 2030 agar semua anak Sarawak mendapat akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.
“Pendidikan awal kanak-kanak mampu membina generasi dan modal insan prihatin, berkebolehan dan bertanggungjawab.
“Turut dibincangkan adalah program tambahan bagi kelima-lima Tadika tersebut yang akan merangkumi program literasi untuk ibu bapa, bengkel untuk ibu bapa dan kanak-kanak, program kindergardening dan kelas Tadika tersebut boleh digunakan untuk komuniti mengadakan kelas anyaman dan kraftangan,” ujarnya.
Turut serta dalam perbincangan dan lawatan penyelarasan bagi majlis perasmian Tadika SeDidik Penan di Kawasan Apoh Tutoh Baram (Tadika SeDidik Long Leng), Ahli Dewan Undangan (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Noriah Ahmad dan Ketua Bahagian Institusi Pendidikan AwaI Kanak-Kanak (IPAKK) Salina Bujang.
Oleh Adum Liu
LAWATAN KERJA… Datuk Rosey Yunus bersama Dennis Ngau ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Tadika SeDidik Long Leng.