Pembangunan semula Bukit Assek diperluas kepada 820 lot

Facebook
WhatsApp
CHIENG...Ketika mengagihkan tanglung kepada kanak-kanak pada Sambutan Perayaan Kuih Bulan anjuran SUPP Cawangan Bukit Assek di perkarangan pusat khidmat parti tersebut, malam tadi.

SIBU: Pelan pembangunan semula Bukit Assek kini memasuki Fasa 1.1 dengan skop pembangunan diperluas daripada 497 lot asal kepada kira-kira 820 lot.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, pelan pembangunan semula itu telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan, dengan kelulusan pertama diperoleh pada Oktober tahun lalu, diikuti satu lagi kelulusan pada Mac tahun ini.

Beliau berkata, firma perunding antarabangsa Ramboll yang beribu pejabat di Denmark telah dilantik untuk melaksanakan perancangan bagi kawasan DUN berkenaan.

“Pasukan itu turut mengkaji contoh pembangunan semula yang berjaya di Singapura, Thailand, Belanda dan Korea Selatan.

“Kita kini telah mengenal pasti Fasa 1.1, yang bermaksud kita telah menentukan lokasi permulaan fasa pertama pembangunan semula ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Perayaan Kuih Bulan anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek di perkarangan pusat khidmat parti tersebut, malam tadi.

Chieng berkata, pelan yang diperluas itu meliputi lebih 800 lot, termasuk beberapa kawasan bandar yang kini dimasukkan dalam kawasan pembangunan semula berkenaan.

“Perancangan itu turut mengambil kira potensi kesan kenaikan paras laut dalam tempoh 100 tahun akan datang,” katanya.

Menurutnya, visual yang disediakan oleh firma perunding tersebut menunjukkan kawasan di Bukit Assek berpotensi terjejas akibat kenaikan paras laut sekiranya tiada langkah pencegahan diambil.

“Ini merupakan isu yang amat serius, sebab itulah Kerajaan Sarawak mempunyai beberapa dasar bagi menangani masalah ini,” ujarnya lagi.

Chieng berkata, pelan pembangunan semula itu turut dipamerkan semasa pameran Sarawakku Sayang selama tiga hari pada Julai lalu, dengan tayangan video yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

Beliau berkata, lebih 1,000 penduduk Sibu mengunjungi pameran berkenaan untuk melihat pelan pembangunan itu dan mendapatkan maklumat lanjut.

MERIAH…Sekitar kemeriahan Sambutan Perayaan Kuih Bulan anjuran SUPP Cawangan Bukit Assek di perkarangan pusat khidmat parti tersebut, malam tadi.

“Pameran selama tiga hari sememangnya tidak mencukupi untuk penduduk kita memahami projek yang begitu besar ini.

“Saya kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan untuk menganjurkan satu lagi pameran dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, tarikh dan lokasi pameran akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan, manakala usaha turut dilakukan untuk menyediakan lokasi tetap bagi membolehkan penduduk dan pemilik hartanah mendapatkan maklumat terperinci mengenai pembangunan semula itu.

Katanya, kemudahan berkenaan akan memberi manfaat kepada penduduk serta ahli keluarga mereka yang pulang ke Bukit Assek semasa musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Pesta Qingming dan sebagainya.

Chieng berkata, pembangunan semula itu akan mengambil masa yang panjang untuk disiapkan berdasarkan skopnya yang besar dan melibatkan lebih 820 lot.

“Oleh itu, kita memerlukan lokasi yang lebih kekal supaya masyarakat dapat mengakses maklumat berkenaan,” katanya.

Beliau turut menyentuh bantuan kebajikan yang disalurkan melalui pusat khidmatnya, termasuk tajaan kanta pembedahan katarak kepada warga emas yang layak.

“Lebih 100 warga emas telah menerima manfaat daripada bantuan itu sepanjang lima tahun lalu, dengan lebih 30 orang mendapat bantuan berkenaan pada tahun ini,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, inisiatif itu tercetus daripada pertemuannya dengan seorang wanita warga emas sebelum beliau menjadi wakil rakyat.

“Beliau memberitahu bahawa dia tidak mampu membeli kanta katarak kerana wang berkenaan boleh digunakan untuk membeli makanan bagi beberapa bulan.

“Kita harus bersama-sama masyarakat ketika mereka menghadapi kesusahan dan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka,” katanya lagi.

Chieng berharap bantuan itu membolehkan warga emas mendapatkan rawatan tanpa dibebani masalah kewangan, selain membantu mereka meningkatkan penglihatan dan menjalani kehidupan seharian.

Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek, Dato Chieng Buong Toon.

Oleh Akun Giman