40 penduduk Rumah Empin didedah kemahiran kendali kebakaran dapur

Facebook
WhatsApp
PESERTA belajar cara mengendalikan kebakaran dapur gas dengan betul. Foto BBP Bintangor

BINTANGOR: Seramai 40 penduduk Rumah Empin, Skim B diberi pendedahan mengenai pengetahuan dan kemahiran asas menghadapi kebakaran, termasuk kaedah mengendalikan kebakaran di dapur serta penggunaan alat pemadam api dengan betul.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program Ceramah Keselamatan Kebakaran dan Demonstrasi itu berlangsung selama tiga jam, dari 2.00 petang hingga 5.00 petang, semalam.

Katanya, lima anggota bomba terlibat dalam program berkenaan bagi memberikan pendedahan praktikal kepada masyarakat mengenai langkah yang perlu diambil ketika berdepan insiden kebakaran.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah demonstrasi pengendalian kebakaran dapur, ceramah pencegahan kebakaran serta tatacara penggunaan alat pemadam api.

“Pendedahan sedemikian penting bagi membolehkan masyarakat memahami tindakan asas yang boleh diambil apabila berdepan kecemasan akibat kebakaran di kediaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, selain pengetahuan mengenai pencegahan, demonstrasi yang dilaksanakan turut memberi peluang kepada peserta memahami kaedah mengendalikan kebakaran secara lebih dekat dan praktikal.

“Program keselamatan kebakaran di peringkat komuniti menjadi antara medium untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pencegahan dan tindakan awal ketika berdepan kebakaran.

“Melalui pendedahan secara langsung ini, penduduk diharap lebih bersedia menghadapi kecemasan serta memahami kepentingan langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kebakaran di kediaman,” katanya.

Oleh Earl Anek