CHENGDU: Sepasang panda gergasi, Ping Ping dan Fu Shuang, berlepas ke zoo di Amerika Syarikat (AS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu Shuangliu di wilayah Sichuan, barat daya China hari ini, lapor Xinhua.
Mereka berlepas dengan penerbangan sewa pada 2.55 pagi bagi memulakan penginapan 10 tahun di Zoo Atlanta.
Sebelum pemergian mereka, Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu mengadakan majlis perpisahan untuk pasangan itu.
Ketibaan panda di AS adalah penting kerana ia mencerminkan kerjasama berterusan antara China dan AS dalam pemuliharaan dan penyelidikan panda gergasi.
Penginapan 10 tahun mereka juga akan memberikan peluang kepada Zoo Atlanta untuk melibatkan pengunjung dalam pemuliharaan panda dan meningkatkan kesedaran mengenai usaha melindungi spesies itu.
Semasa lawatan negaranya ke AS pada 24 September, Presiden China Xi Jinping mengumumkan dua panda gergasi akan tiba di Zoo Atlanta tidak lama lagi.
Menggelar panda gergasi itu sebagai “utusan persahabatan antara rakyat China dan Amerika”, Xi berkata pasangan itu akan bertemu rakyat Amerika di rumah baharu mereka di Atlanta. – Bernama





