Kepelbagaian masyarakat kekuatan Sarawak kekal harmoni

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan dan Sambutan 40 Tahun Perayaan Kuih Bulan Daerah Lawas di Arena Lawas, malam tadi.

LAWAS: Kepelbagaian budaya, latar belakang dan pegangan agama menjadi kekuatan utama rakyat Sarawak dalam mengekalkan keharmonian serta menjadikan negeri ini sebagai ‘Rumah Kita’ untuk semua bangsa dan keturunan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semangat saling menghormati dan meraikan kepelbagaian yang diamalkan sejak bergenerasi perlu terus dipelihara bagi memastikan Sarawak kekal aman, makmur dan maju.

“Generasi telah bertukar, bandar kita telah berkembang dan kehidupan masyarakat juga berubah. Namun, semangat untuk memelihara budaya dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat terus kekal sehingga hari ini.

“Perayaan Kuih Bulan mempunyai sejarah dan makna yang mendalam bagi masyarakat Cina. Ia membawa nilai kekeluargaan, kebersamaan, kesyukuran dan harapan,” katanya dalam teks ucapan sempena Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan dan Sambutan 40 Tahun Perayaan Kuih Bulan Daerah Lawas di Arena Lawas, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang mewakili beliau pada majlis berkenaan.

Awang Tengah berkata, keunikan Sarawak terserlah apabila sesuatu perayaan tidak hanya diraikan oleh satu kaum, sebaliknya turut disertai masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

PERSEMBAHAN kebudayaan memeriahkan Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan dan Sambutan 40 Tahun Perayaan Kuih Bulan Daerah Lawas di Arena Lawas, malam tadi.

“Tetapi di Sarawak, khususnya di Lawas, sesuatu perayaan tidak hanya diraikan oleh satu kaum. Kita turut hadir, saling mengunjungi dan berkongsi kegembiraan bersama-sama.

“Inilah keistimewaan Lawas. Masyarakat Melayu, Kedayan, Lun Bawang, Cina, Iban dan masyarakat lain telah hidup bersama sejak sekian lama.

“Kita mungkin berbeza dari segi bahasa, agama dan adat, tetapi kita saling mengenali, saling menghormati dan bersama-sama menjadikan Lawas sebagai rumah kita,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah menyeru supaya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan berkaitan perkara yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak dijadikan alasan untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Sebaliknya, katanya, permuafakatan dan toleransi yang diamalkan sejak bergenerasi perlu terus dijadikan pegangan bagi memastikan Sarawak kekal makmur dan maju.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengerusi Pengelola Liaw Ho Peng, serta kenamaan lain.

Oleh Adeng Edrus