PUTRAJAYA: Ahli keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan susulan kejadian banjir di Nepal tiba di Wisma Putra seawal 9.00 pagi ini bagi menghadiri pertemuan dengan wakil kerajaan berhubung perkembangan terkini usaha pencarian anggota keluarga mereka.
Pertemuan secara tertutup itu dijangka memberikan ruang kepada keluarga mendapatkan penjelasan lebih terperinci mengenai operasi pencarian, pengesahan dan pengenalpastian mangsa selepas lebih sebulan kejadian berlaku.
Wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijangka terlibat dalam pertemuan berkenaan.
Pertemuan hari ini adalah yang kedua menyusuli libat urus rasmi pertama kerajaan dengan keluarga terjejas pada 30 Ogos, lima hari selepas kejadian pada 26 Ogos, namun tidak semua keluarga dapat diwakili ketika itu.
Pada 30 Ogos lepas, satu taklimat tertutup waris mangsa serta pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) diadakan di Wisma Putra bagi membantu prosedur identifikasi mayat yang ditemukan di Nepal.
Pasukan SMART yang terdiri daripada 11 anggota dihantar ke Nepal pada 5 September lepas dan menjalankan pencarian darat serta pemantauan menggunakan dron di kawasan yang diluluskan dan dianggap selamat oleh pihak berkuasa Nepal sebelum kembali ke Malaysia pada 14 September lepas.
Wisma Putra sebelum ini memaklumkan kepulangan pasukan itu tidak bermakna usaha menentukan status 55 rakyat Malaysia berkenaan telah ditamatkan, dengan pihak berkuasa Nepal meneruskan usaha pencarian, pengesahan dan pengenalpastian, manakala Malaysia meneruskan usaha diplomatik dengan pihak berkuasa berkaitan.
Pada 22 Sept, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan keresahan dan harapan keluarga mangsa kepada Perdana Menteri Nepal Balendra Shah serta membangkitkan keperluan mewujudkan mekanisme rasmi bagi membantu keluarga sekiranya rakyat Malaysia berkenaan terus tidak dapat dikesan.
Banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lepas yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang, manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan. – Bernama




