SIMANGGANG: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon 1 Kampung Muhibbah di sini menerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) akan tetap meneruskan operasi rondaan dalam kawasan kampung walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan.
Ketua Peronda SRS, Ramli Abu Sera berkata SRS Zon 1 Kampung Muhibbah tidak boleh menghentikan operasi rondaan pada cuaca hujan sekarang kerana khuatir ada orang akan mengambil kesempatan untuk melakukan perbuatan jenayah di sini.
“Atas sebab itu setiap ahli kami terpaksa melaksanakan operasi rondaan dalam penempatan di sini sambil mengutamakan keselamatan diri masing-masing pada musim cuaca hujan berterusan di Sri Aman sekarang,”katanya ketika ditemui pada Program Jom Ronda SRS di sini.
Beliau memohon penduduk agar mengutamakan keselamatan rumah masing-masing dengan memastikannya berkunci ketika keluar untuk tempoh lama.
Katanya, tindakan penduduk secara tidak langsung akan dapat melengahkan penjenayah yang mahu menceroboh kediaman mereka sebelum ahli SRS tiba di situ untuk melakukan pemantauan.
“Bagaimanapun, SRS Zon 1 Kampung Muhibbah Sri Aman memerlukan pertambahan ahli untuk memperkukuhkan lagi kekuatan organisasi dan operasi rondaan dalam kawasan penempatan penduduk di sini,” katanya.
Terdahulu Ramli bersama anggota SRS telah memulakan Program Jom Ronda di sekitar kawasan Zon Tengah dan Zon Selatan, Kampung Muhibbah di sini malam tadi.
Turut serta dalam rondaan berkenaan adalah Penolong Pegawai Perpaduan Bahagian Sri Aman, Suzie Masin dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon 1 Kampung Muhibbah, Julaihi Johari.
Oleh VALENTINE NGUMBANG