Kong gesa semakan keselamatan projek tebatan banjir Jalan Mendu

Facebook
WhatsApp
MICHAEL Kong meninjau keadaan penghadang keselamatan di tapak projek tebatan banjir Jalan Mendu.

KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian menggesa pihak berkuasa dan kontraktor menyemak semula langkah keselamatan di tapak projek tebatan banjir Jalan Mendu yang mengalami kelewatan.

Beliau menegaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dikompromi sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan.

Menurut Kong, projek berkenaan sepatutnya siap pada 9 Februari 2026, namun kini hampir enam bulan lewat daripada jadual asal tanpa sebarang petunjuk jelas mengenai tarikh siap.

“Walaupun berlaku kelewatan, keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh diabaikan sepanjang tempoh pembinaan,” katanya

Beliau berkata, antara aduan yang sering diterima ialah penghadang keselamatan plastik sementara di kawasan pembinaan yang kerap tumbang atau menghalang sebahagian laluan, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal serta ketika keadaan penglihatan terhad.

Kong berkata, susulan maklum balas terbaharu daripada orang ramai, beliau mendapati besi tetulang (rebar) digunakan untuk mengukuhkan penghadang plastik berkenaan.

“Perkara ini amat membimbangkan. Banyak besi tetulang itu terkeluar daripada penghadang dan boleh mendatangkan risiko serius kepada pengguna jalan raya.

“Jika berlaku kemalangan, besi yang terdedah itu berpotensi menembusi kenderaan atau menyebabkan kecederaan parah, khususnya kepada penunggang motosikal,” katanya.

Beliau menegaskan, langkah keselamatan sepatutnya mengurangkan risiko, bukannya mewujudkan bahaya baharu kepada pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan kontraktor supaya segera menilai semula pengurusan trafik serta langkah keselamatan di tapak pembinaan.

Katanya, semua penghadang sementara perlu dipasang mengikut piawaian keselamatan, manakala besi tetulang atau struktur berbahaya yang terdedah hendaklah dialihkan dengan segera.

“Orang ramai sudah berdepan kesesakan lalu lintas dan pelbagai kesulitan selama berbulan-bulan akibat projek yang tertangguh. Mereka berhak mendapat tapak pembinaan yang diuruskan dengan baik serta tidak membahayakan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Oleh Connie Chieng