
BINTULU: Kompleks Sukan Sebauh bernilai RM8.4 juta dijangka siap pada Julai 2026, memberikan kemudahan sukan moden kepada penduduk luar bandar.
Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan di sebuah tapak seluas 12.795 ekar.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata projek ini penting bagi menyediakan platform kepada masyarakat luar bandar untuk menceburi bidang sukan secara profesional.
“Ini satu keperluan yang sangat penting terutamanya kepada rakyat di luar bandar agar mereka diberikan peluang untuk terlibat dalam sukan profesional,” katanya semasa sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu, hari ini.
Kompleks sukan ini bakal dilengkapi dengan litar balapan sintetik lapan lorong, padang bola sepak mengikut piawaian FIFA, pentas utama, serta fasiliti olahraga seperti lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru, rejam lembing, lompat galah, balingan cakera dan tukul besi.

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas pembiayaan projek ini serta kepada JKR Sarawak atas usaha merealisasikan pembinaan kompleks sukan tersebut.
Beliau menyatakan bahawa projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif Premier Sarawak dalam memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di Bandar Bintulu, tetapi turut melibatkan kawasan pinggir dan luar bandar seperti Jepak dan Sebauh.
“Kita mengharapkan projek ini mampu mengubah landskap pembangunan Daerah Sebauh pada masa hadapan,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan komited dalam melaksanakan lebih banyak projek pembangunan di Sebauh, termasuk jambatan, Sebauh New Township, masjid dan gereja bagi memastikan pertumbuhan seimbang dengan pembangunan di bandar Bintulu.
Majlis pecah tanah ini turut dihadiri oleh Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pengarah JKR Sarawak; Ts. Gr. Ir. Br. Dr. Cassidy Morris, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Frederick, Pegawai Daerah Sebauh Thadeus Ling Bartholomew Ding, serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Colin Patan. – UKAS