TANJUNG MANIS: Kolaborasi antara Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS) dan AGROBANK amat unik kerana kerjasama ini dapat membantu badan bukan kerajaan (NGO) seperti DEKOMS membantu menyalurkan maklumat kepada rakyat tentang peluang yang ada disediakan oleh kerajaan melalui pelbagai agensinya.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, beliau difahamkan pihak DEKOMS kini mempunyai rakan strategik dengan beberapa buah agensi kerajaan lain selain dari AGROBANK.
“Berikutan itu, saya berharap dengan adanya kerjasama seperti ini dapat diperluaskan dengan beberapa agensi lain lagi bagi mempastikan maklumat dapat disalurkan oleh DEKOMS khususnya kepada masyarakat yang tinggal di luar bandar yang sukar mendapatkan maklumat terkini melalui program seperti ini.
“Saya yakin DEKOMS mampu melakukannya. Sesuai dan sejajar dengan misi dan visi DEKOMS yang berusaha untuk membantu para peniaga dan penjaja kecil, saya berharap masyarakat setempat, khususnya para peniaga dan penjaja kecil di daerah sekitar sini, khususnya dari Kuala Rajang, Tanjung Manis, Belawai dan kawasan sekitarnya dapat mendaftar sebagai ahli DEKOMS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Keusahawan: Ceramah Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) Peluang, Pembiayaan dan Pinjaman Perniagaan bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Rajang, pagi semalam.
Len merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, berkata, dengan ramainya ahli dalam sesebuah pertubuhan itu pastinya suara mereka akan mudah didengari bukan sahaja oleh pihak kerajaan, malah oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
“Dalam usaha untuk menangani sesuatu isu malah perbalahan sekalipun, pihak NGO seperti DEKOMS boleh memainkan peranan dalam menyelesaikan kemelut dan polimik yang panjang ketika mana masyarakat seluruhnya masih ternanti-nanti akan suara lebih tegas dan berani dalam menyelesaikan isu masyarakat.
“Dalam bidang pembangunan ekonomi saya percaya DEKOMS boleh memainkan peranan nya sejajar dengan bertemakan Kreatif, Inovatif dan Progresif yang sudah tentu menjadi teras dalam asas perjuangan DEKOMS,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, berikutan dengan situasi dan keadaan yang begitu mencabar ketika ini yang sedang dilanda dengan wabak Covid-19 di seluruh dunia termasuk juga di negara kita turut menjejaskan program pembangunan ekonomi amat ketara sekali sehingga menjejaskan kehidupan harian.
“Justeru kerana itu, saya ingin menyeru kepada semua masyarakat penjaja dan peniaga kecil, khususnya mereka yang berada di luar bandar seperti di kawasan Tanjung Manis ini, supaya dapat terus berjuang memperbaiki keadaan hidup masing-masing dengan penuh dedikasi dalam menjalankan perniagaan mereka.
“Seandainya kita mempunyai keyakinan penuh akan keupayaan diri, pastinya Allah SWT akan membantu anda dalam memperbaiki kehidupan masing-masing, seperti berjaya dalam bidang perniagaan, walaupun secara kecil-kecilan,” katanya lagi.
Tambahnya, berikutan keadaan kini yang banyak merubah senario politik di negara ini, beliau ingin merayu kepada semua rakyat, khususnya rakyat Sarawak terus menyokong Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Run Openg bagi meneruskan usaha pembangunan di seluruh negeri ini yang kini sedang rancak dilaksanakan walaupun kini sedang dibelenggu dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat penularan virus Covid-19.
“Sudah pastinya kawasan DUN Kuala Rajang ini juga memerlukan sokongan padu dari seluruh rakyat di kawasan ini untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan bagi menjamin pembangunan yang berterusan untuk rakyat.
“Saya percaya masih ramai rakyat yang kehausan pembangunan yang diidam-idamkan. Sebagai wakil rakyat di kawasan ini saya ingin memberi jaminan untuk terus menghulurkan apa-apa jua bantuan setakat yang termampu.
“Selagi ada kudrat, disitulah ada hasrat saya untuk terus memperjuangkan nasib rakyat di kawasan ini. Saya yakin dan percaya semua rancangan pembangunan yang telah, sedang dan akan dirancangkan di kawasan ini akan berjaya dilaksanakan selagi mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dari rakyat.
Kerajaan GPS sentiasa prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.
Oleh EARL ANEK