KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 170 juta peluang pekerjaan baharu dijangka wujud manakala 90 juta pekerjaan sedia ada berdepan kehilangan menjelang 2030, sekali gus menuntut masyarakat memperkukuh mobiliti sosial menerusi pendidikan dan kemahiran.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, perubahan itu berlaku susulan perkembangan pesat sains dan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) yang turut mengubah keperluan pekerjaan.
“Dunia sekarang ialah dunia sains dan teknologi, dunia AI dan teknologi tinggi, dan kita perlu menyesuaikan teknologi-teknologi tinggi dalam kehidupan kita.
“Masyarakat khususnya golongan muda perlu mendapatkan maklumat mengenai keperluan industri, peluang pendidikan dan laluan kerjaya bagi menghadapi perubahan berkenaan.
“Maklumat seperti ini perlu dikongsi bagi membantu pelajar memilih laluan pendidikan dan kerjaya yang sesuai dengan keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Karnival Tok Bok Nyo 3.0 di sebuah pusat beli belah terkemuka di sini, hari ini.
Tambah beliau, perkongsian maklumat berkaitan pendidikan dan kerjaya penting bagi membantu pelajar memilih bidang pengajian berdasarkan keperluan industri semasa.
“Kita tak nak pelajar-pelajar kita tersalah pilih, atau hanya ikut kawan-kawan dan ibu bapa, sedangkan keperluan industri dan keperluan semasa perlu kita ketengahkan.

“Peluang pekerjaan selepas tamat pengajian juga perlu diketahui supaya mereka dapat memilih laluan yang sesuai dengan keperluan kawasan, negeri dan negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut, peluang pendidikan dan kemahiran perlu diperluas kepada golongan yang tidak berpeluang meneruskan pengajian akademik supaya mereka dapat membina masa depan berdasarkan bakat masing-masing
“Yang tidak mampu belajar sehingga ke peringkat ini tetapi mempunyai bakat, boleh disalurkan melalui pendidikan dan kemahiran yang sesuai.
“Usaha memperkukuh mobiliti sosial memerlukan kerjasama kerajaan, institusi pendidikan, komuniti dan sektor swasta dalam menyediakan lebih banyak peluang kepada masyarakat supaya anak muda berkemahiran, usahawan mempunyai pasaran dan keluarga terus kukuh,” ujarnya.
Untuk rekod, Karnival Tok Bok Nyo 3.0 berlangsung selama tiga hari itu mengetengahkan pengisian berkaitan warisan, pendidikan, kerjaya, keusahawanan, sukan dan pembangunan generasi muda.
Oleh Masrin Affirah



