KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memainkan peranan dalam memperjuangkan kepentingan hak Sarawak melalui penyampaian informasi serta fakta yang tepat kepada rakyat khususnya di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai agensi media milik kerajaan Sarawak, UKAS mesti berani dan ke depan dalam memperakui semangat rakyat Sarawak dan memberikan perkhidmatan terbaik.
Ini katanya, UKAS telah mula menggunakan pelbagai aplikasi media sosial dalam menyebarluaskan informasi mengenai dasar dan inisiatif kerajaan negeri sejak awal penubuhannya pada 2018 lalu.
“Satu kajian dibuat oleh syarikat global Meltwater menunjukkan seramai 33.03 juta rakyat Malaysia menggunakan Internet.
“Antara sebab mereka melayari Internet untuk mencari maklumat umum (76.2 peratus), mencari bahan berita (65.8 peratus) dan 64.2 peratus untuk berhubung dengan sanak saudara dan kawan-kawan.
“Daripada 33.03 juta itu, pengguna Facebook adalah 20.25 juta. Youtube 23.9 juta, instagram 13.59 juta, Tiktok 19.3 juta dan Twitter 5.5 juta.
“Kalau inilah angkanya, bayangkanlah kalau kita mengguna Internet dan juga digital komunikasi. UKAS sudah mula sejak pertubuhannya menggunakan apikasi ini,” katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching malam tadi.
Dalam pada itu beliau berkata, UKAS harus komited dalam menyebarkan fakta kepada rakyat dan bekerja dalam satu pasukan untuk hasil kerja yang lebih efisien.
Mengimbau sejarah penubuhannya, beliau berkata penubuhan UKAS pada 2018 semasa perubahan kerajaan pusat bertujuan membantu menyebarluaskan hasrat kerajaan Sarawak dan pemimpin untuk membantu rakyat negeri ini.
Tegasnya, Sarawak mesti mempunyai unit penerangannya sendiri di atas semangat untuk membangunkan negeri ini.
Premier Sarawak pada majlis tersebut diberi penghormatan melancarkan logo serta tagline baharu UKAS, ‘Saluran Informasi Rakyat’.
Beliau kemudianya menyampaikan sijil penghargaan kepada 27 organisasi media cetak, elektronik dan media baharu di Sarawak.
Malah beliau turut menerima memento berupa buku berjudul ‘Hope And Transformation’ yang dikarang penulis veteran, Dr Toman Mamora.
Pada masa sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memainkan peranan proaktif dalam usaha penyebaran pelbagai maklumat tentang inisiatif dan polisi kerajaan Sarawak.
“Sehingga kini UKAS telah melalui pelbagai peringkat perubahan dan kematangan untuk terus kekal relevan dan produktif.
Sudah lima tahun UKAS beroperasi dan telah melalui pelbagai peringkat kedewasaan, kematangan dan pelarasan dalam satu perjalanan yang tidak mudah untuk menjadi satu organisasi yang kami mahu kekal relevan dan produktif demi mendukung agenda kerajaan yang semakin rancak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun UKAS ke-5 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Sementara itu, beliau turut menyifatkan budaya kerja kakitangan UKAS juga memainkan peranan penting untuk menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.
“Secara amnya ialah untuk menyalur maklumat yang sahih, cerita yang benar, mengurus persepsi yang kurang tepat, mentafsir yang tersirat supaya orang awam mudah memahami, mengumpul maklumat tentang isu dan keresahan rakyat untuk perhatian mereka yang berkenaan dalam jentera kerajaan.
“Semua itu memerlukan kecekalan, kepekaan, ambil peduli dan kemahiran yang efisien dan berdisiplin, sentiasa bersedia untuk memasang mata dan telinga untuk mengumpul pelbagai maklumat dan cerita yang perlu dikongsi kepada masyarakat,” katanya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS Samuel Simon serta dif-dif kehormat yang lain.
Oleh Nickelyson Lakun