KUCHING, 4 Oktober: Gerakan koperasi di Malaysia perlu memperkukuh kepimpinan profesional, mempercepatkan pendigitalan serta mengadaptasi amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan sektor itu kekal berdaya saing dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi.
Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Onn Abu Bakar berkata, perubahan landskap perniagaan memerlukan koperasi tidak lagi bergantung kepada pendekatan tradisional atau hanya bertindak selepas berlakunya sesuatu cabaran.
“Sebaliknya, koperasi memerlukan kepimpinan profesional berprestasi tinggi, berfikiran jauh dan lebih proaktif selain memperkasakan budaya inovasi serta berani mengolah model perniagaan mengikut peredaran semasa,” katanya ketika berucap pada program CEO Talk ‘Mengemudi Ketidaktentuan, Menerajui Masa Hadapan’ di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, pematuhan terhadap piawaian ESG, mekanisme pelarasan jejak karbon dan peralihan kepada ekonomi hijau mampan antara perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh gerakan koperasi pada 2026.
Menurutnya, perubahan permintaan pengguna global terhadap produk mesra alam juga dijangka mempengaruhi daya saing perniagaan koperasi.
Dalam pada itu, Onn berkata gerakan koperasi Malaysia menunjukkan pertumbuhan stabil sepanjang 2025 apabila jumlah pendapatan keseluruhan Koperasi Premier dan 100 Koperasi Terbaik meningkat 10 peratus kepada RM12.25 bilion berbanding RM11.13 bilion pada 2024.
“Jumlah aset koperasi pula mencecah RM154.74 bilion, manakala syer anggota meningkat kepada RM28.20 bilion.
“Perkembangan ini membuktikan kepimpinan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan pengurusan memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan entiti perniagaan koperasi,” katanya.
Onn berkata, Koperasi Coop Bank Pertama merupakan antara contoh kejayaan transformasi koperasi tradisional kepada institusi perbankan koperasi yang menggunakan teknologi dan model perniagaan moden.
Beliau turut mengetengahkan Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad yang ditubuhkan pada 1949 dan kini mempunyai lebih 25,000 anggota dengan aset kira-kira RM253 juta, bersamaan kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan aset koperasi di wilayah Sarawak.
Katanya, kejayaan koperasi bukan hanya bergantung kepada modal, keuntungan atau jumlah anggota, sebaliknya turut dipengaruhi keberkesanan kepimpinan, tadbir urus baik, pengurusan profesional serta komitmen anggota.
“Prinsip utama kejayaan koperasi ialah lembaga menentukan arah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) menggerakkan pelaksanaan dan anggota menjadi asas kekuatan koperasi,” katanya.
Beliau berkata, IKMa akan terus memperkukuh pendidikan, latihan dan bimbingan bagi membantu gerakan koperasi kekal kompetitif, berdaya saing dan mampan, selaras dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM) 2030.




